Tidak ‘mampu’ guna lockdown

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk mengikut jejak langkah China mengamalkan strategi sifar Covid-19 dengan melaksanakan perintah berkurung.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tidak dinafikan strategi itu berkesan tetapi Malaysia mengamalkan strategi mitigasi dalam mengawal pandemik Covid-19.

“Namun strategi mereka iaitu containment atau zero Covid-19 bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif. Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk lockdown. Strategi kita mitigation.

Bermaksud kita mengurus kes positif dengan berkesan, tingkatkan jumlah vaksinasi, jaga SOP (prosedur operasi standard), #TRIIS agar kadar kematian menurun, penggunaan ICU (unit rawatan rapi) turun dan kemasukan hospital turun,” katanya dalam ciapan terbaharunya di sini.

Baru-baru ini, lebih sejuta penduduk di Yuzhou di wilayah Henan dikenakan perintah berkurung selepas tiga kes jangkitan Covid-19 yang tidak bergejala dikesan di bandar tersebut.

Langkah itu diambil ketika China terus berusaha melaksanakan dasar ‘sifar Covid-19’ yang dianggap kebanyakan negara lain sebagai tidak masuk akal.

Perintah berkurung itu menyaksikan 1.17 juta penduduk Yuzhou tidak dibenarkan keluar dari rumah.

Sementara itu, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bintulu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tiong King Sing yang mempersoalkan keupayaan Dr Noor Hisham Abdullah menangani Covid-19, Khairy memberitahu, beliau menyokong penuh kepemimpinan Dr Noor Hisham untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.

“Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendapat sokongan penuh daripada saya untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia,” ujarnya.

Media melaporkan, King Sing berpandangan bahawa Dr Noor Hisham perlu diganti dengan individu lain yang layak kerana dilihat tidak berupaya dalam mengendalikan pandemik Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, walaupun beliau sebagai salah seorang pembuat keputusan dan terbaik dalam mengekang penularan varian Omicron, namun Dr Noor Hisham bukan daripada latar belakang kesihatan awam.

Related posts

Leave a Comment