PH ‘membeli masa’ lengahkan PRU

KUALA LUMPUR 27 Sept. –  Pakatan Harapan (PH) cuba ‘membeli masa’ untuk melengahkan pilihan raya umum (PRU) diadakan, dengan menggunakan isu banjir sedangkan mereka bimbang dengan sokongan pengundi Melayu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, kebimbangan sebenar pembangkang adalah apabila pengundi Melayu yang mewakili populasi terbesar negara kurang berminat menyokong gabungan itu.

“PH hampir menemui jalan buntu dan tidak mempunyai pilihan selain memerlukan lebih banyak masa. Dengan kata lain, PH cuba ‘membeli masa’ untuk melengahkan PRU diadakan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pembangkang yang semakin hangat memainkan isu banjir untuk mengelak PRU menyebabkan ada segelintir anggota kerajaan terpengaruh dengan dakyah ini tanpa menilai perspektif yang meluas.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam kenyataan melalui media sosialnya bertajuk Membongkar Mitos dan Naratif Banjir Pembangkang (i).

Presiden UMNO itu berkata, menurut sumber portal Malaysianow pemimpin PH diberitahu supaya membangkitkan isu seperti bencana banjir dan kenaikan inflasi supaya pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini dapat dielakkan.

Malah, katanya, portal itu menyatakan beberapa badan pemikir ditugaskan untuk menjalankan penyelidikan mengenai sentimen pengundi terhadap PH dan dijemput membentangkan penemuan mereka.

Daripada pembentangan data hasil tinjauan berasingan itu didapati penemuan utama ialah sokongan Melayu terhadap PH berada pada tahap paling rendah malahan PH tidak akan mendapat lebih daripada 15 peratus undi Melayu pada PRU15 jika ia diadakan dalam masa terdekat ini

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan kajian itu, keputusan PRU15 tidak akan memihak PH disebabkan undi Melayu akan beralih arah kerana pemulihan dan kebangkitan UMNO.

Namun, katanya, apa yang paling aneh kajian itu tidak pula membentangkan fakta mengenai banjir dan strategi untuk menyantuni rakyat ketika banjir melanda.

“Tidak pula dibentangkan strategi menangani inflasi untuk Malaysia yang kini melanda seluruh dunia. Sebaliknya pembangkang hanya lebih berminat memikirkan strategi untuk menang PRU15 daripada memikirkan masalah rakyat dalam pemukiman itu.

“Ini menunjukkan sikap sebenar pembangkang. Yang anehnya terdapat sekutu bersama UMNO masih lagi terpedaya dengan dakyah pembangkang itu atau mereka sebenarnya ada motif mereka sendiri bagi melengahkan PRU15 sebelum musim tengkujuh bermula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment