Persatuan Artisan Diraja Malaysia

PUTRAJAYA 26 Sept. – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini mengumumkan penubuhan Persatuan Artisan Diraja Malaysia bagi mengiktiraf karyawan yang berkemahiran dalam ketukangan kraf.

Dalam titah sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8, Tunku Azizah berkenan berkongsi visi untuk memartabatkan kraf tradisional itu sebagai satu peninggalan yang berharga untuk generasi akan datang.

“Saya mempunyai visi dan sepatutnya menjadi wawasan kepada semua, sebagai seorang penjaga budaya, saya bertanggungjawab untuk memelihara, menghidupkan dan memartabatkan legasi bukan sahaja berkaitan tekstil tetapi budaya dan warisan secara keseluruhannya.

Hari ini, sempena simposium saya ingin mengumumkan mengenai penubuhan Persatuan Artisan Diraja Malaysia bagi mengiktiraf individu berkemahiran dalam kraf tangan untuk meneruskan perjalanan mereka sekali gus memberi manfaat kepada masa depan.

Tunku Azizah bertitah, sejak dua dekad lalu baginda mula memelihara dan menghidupkan warisan kebudayaan negara dengan memberi fokus kepada pembangunan dan penjenamaan semula Tenun Pahang yang kini dikenali sebagai Tenun Pahang Diraja yang bertempat di Pulau Keladi, Pekan, Pahang.

Titah baginda, usahanya memupuk, memelihara dan menggalakkan industri tenun akhirnya warisan seni yang dulu dilupakan kini berjaya dibangunkan secara dinamik sekali gus menyaksikan Tenun Pahang Diraja kini semakin dikenali secara meluas serta boleh dikomersialkan.

Baginda bertitah, lawatan sambil belajar atau ‘tawaf tenun’ turut dianjurkan mempelajari seni dan kraf di negara jiran seperti Kemboja, Laos, India, Vietnam, Indonesia dan Brunei.

“Kita lihat, pelajari dan tiru. Apabila pulang ke Pahang, kami gabungkan segala teknik yang dipelajari di negara terbabit.

“Malah, terdapat enam pakaian yang saya pakai semasa upacara Pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang setiap rekaannya mempunyai gabungan teknik yang dipelajari ketika sesi lawatan berkenaan.

“Boleh dikatakan ASEAN semua dalam satu (pakaian), semua teknik berbeza yang dipelajari kita masukkan dalam reka bentuk atau corak pakaian yang dipakai,” titah baginda.

Tunku Azizah juga bertitah, Jabatan Penjara banyak membantunya dalam mengembangkan warisan Tenung Pahang yang sudah wujud sejak 1,000 tahun lalu.

Titah baginda, pembinaan Kampung Al-Sultan Abdullah di Pekan kelak bakal memberi peluang kepada bekas banduan mempelajari kemahiran.

Turut ditawarkan kaunseling, bengkel serta bantuan penjualan produk yang seterusnya mampu membawa mereka kembali kepada masyarakat.

Related posts

Leave a Comment