9.5 juta penduduk Sudan tinggalkan kediaman

DIANGGARKAN, kira-kira 9.5 juta orang penduduk di Sudan terpaksa meninggalkan kediaman mereka di 18 negeri akibat hampir tiga tahun konflik berterusan

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, Sudan kini berdepan krisis kehilangan tempat tinggal terbesar di dunia.

Kanak-kanak Sudan khususnya menanggung kesan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat keganasan, kehilangan tempat tinggal, penyakit serta kebuluran yang meluas.

Agensi itu berkata, ia terus beroperasi di lapangan bersama rakan pelaksana bagi menyediakan perkhidmatan menyelamatkan nyawa kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas, termasuk penjagaan kesihatan dan pemakanan, akses kepada air bersih, sokongan psikososial serta pendidikan.

Bagaimanapun, UNICEF memberi amaran krisis di Sudan masih kurang mendapat liputan dan mengalami kekurangan dana yang kritikal, sekali gus mengehadkan keupayaan agensi kemanusiaan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

UNICEF menegaskan, kanak-kanak menanggung beban paling berat akibat konflik itu dan sekali lagi menekankan keperluan mendesak untuk keamanan serta kestabilan yang berkekalan di seluruh Sudan.

Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) terbabit dalam peperangan yang meragut ribuan nyawa dan konflik gagal ditamatkan melalui usaha pengantaraan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment