Bersatu akan bentuk gabungan baharu

NILAI 17 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membentuk gabungan baharu lebih hebat bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata gabungan baharu itu antara lain akan turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

“Saya nak berikan gambaran selepas PRN Negeri Sembilan ini, Bersatu tidak berseorangan lagi,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Bersatu dalam menghadapi pilihan raya Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebagaimana disebutkan sewaktu menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dulu, banyak pemimpin datang dan antaranya Presiden URIMAI, Prof Dr P Ramasamy yang telah nyatakan kesediaan untuk bersama-sama.

Semalam, Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa, memaklumkan pihaknya sudah dimaklumkan serta diberi bukti dan maklumat secara hitam putih mengenai perancangan Bersatu untuk menghidupkan satu platform politik lain selain PN.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata pihaknya duduk berbincang dengan beberapa parti tentang apakah konsep kerjasama boleh dibentuk dalam tempoh kurang setahun bagi membolehkan mereka lebih bersedia dengan kekuatan baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan kedudukan parti itu dalam PN sama ada akan keluar atau sebaliknya.

Sebaliknya Muhyiddin mendakwa Pas yang menerajui PN membiarkan Bersatu ‘terkontang-kanting’ apabila gagal meneruskan rundingan pembahagian kerusi menjelang PRU DN Negeri Sembilan.

Malah, beliau turut mempersoal kepemimpinan PN diterajui Pas yang didakwa membuat rundingan dengan parti lain tanpa melibatkan semua parti komponen gabungan itu.

Katanya Pas pada mulanya memanggil mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi, namun ia tidak diteruskan sehingga menyebabkan Bersatu diketepikan daripada proses membuat keputusan.

“Sebaik tamat PRN Johor dan tinggal beberapa hari sebelum PRN Negeri Sembilan, mereka memanggil mesyuarat kononnya untuk bincang pembahagian kerusi. Tetapi mesyuarat tidak berlangsung kerana tak dapat putuskan.

Sepatutnya ada mesyuarat lagi, tetapi mereka tidak buat. Mereka berunding sesama sendiri dan tinggalkan kita begitu sahaja. Terkontang-kanting kita dibuatnya,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Bersatu sehingga kini masih parti pengasas dan ahli sah PN, justeru sebarang keputusan sepatutnya diputuskan secara bersama.

“Hari ini pun kalau kita bertanding atas logo PN, kita masih ahli PN. Ini bukan parti Pas semata-mata. Semua parti dalam PN mempunyai hak yang sama dan tidak boleh dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata ini pertama kali Bersatu bertanding secara sendirian sejak tertubuhnya parti itu 10 tahun lalu dan pihaknya yakin berupaya memberikan cabaran sengit.

“Jentera parti dari seluruh negara perlu membantu calon-calon kita sepanjang 14 hari berkempen dengan menjelaskan kepada pengundi tentang prinsip yang dipegang Bersatu,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment