SEREMBAN 18;Julai – Sebanyak 103 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan, bagi merebut 36 kerusi yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan 36 calon diikuti BN (25), Bersatu (24), PN (11), Bebas (4) manakala Berjasa, ASLI dan PSM masing-masing satu kerusi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ramlan Harun, berkata DUN Sri Tanjung dan Nilai menyaksikan calon paling ramai bertanding dengan masing-masing lima orang, diikuti masing-masing empat calon di dua lagi DUN.
“Secara keseluruhan, bilangan pertandingan mengikut penjuru adalah 11 kerusi menyaksikan satu lawan satu, tiga penjuru di 21 kerusi, empat dan lima penjuru masing-masing di dua kerusi,” katanya pada sidang media, hari ini.
Di DUN Nilai, penyandang kerusi, J Arul Kumar (PH-DAP) bakal bersaing dengan Zamani Ibrahim (Berjasa), Alan Lai (BN-MCA), V Sarana Kumar (Bersatu) dan calon Bebas, Omar Mohd Isa.
Lima calon juga bakal bersaing di Sri Tanjung, iaitu A Achutan (BN-MIC), Dr G Rajasekaran (PH-PKR), M Leevineshwaraan (Bersatu) dan dua calon Bebas, V Saravanan serta Islah Wahyudi Zainuddin.
Ramlan berkata,seramai 94 calon adalah lelaki dan sembilan wanita bertanding dengan umur calon paling muda 23 tahun dan calon tertua 70 tahun.
Berdasarkan kategori umur, tiga calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, 12 calon berumur 30 hingga 39 tahun, 39 calon berusia 40 hingga 49 tahun, 33 calon dalam lingkungan 50 hingga 59 tahun, manakala 16 calon berusia 60 tahun ke atas.
Calon tertua mewakili PH bagi kerusi DUN Gemencheh, Abd Latif A Tambi, 70, manakala calon termuda mewakili Bersatu bagi DUN Sri Tanjung, Leevineshwaran Murugan, 23.
Ramlan berkata, SPR menubuhkan 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh bermula hari ini sehingga jam 11.59 malam 31 Julai,
Beliau turut mengingatkan semua calon supaya mematuhi undang-undang serta peraturan berkaitan bahan kempen dan mengelakkan penggunaan bahan berunsur hasutan, perkauman atau menyentuh sensitiviti agama.
Nnn
