KJ bimbang belum jumpa kawasan

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Ketika ramai bimbang pilihan raya umum bertembung dengan musim banjir, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut risau memikirkan kelangsungan kerjaya politiknya.

Setakat ini, bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu belum mempunyai kawasan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Kesihatan itu berkata, kebimbangannya berhubung perkara itu melangkaui kerisauan Kabinet sama ada mengadakan PRU15 pada tahun ini atau sebaliknya.

“‘Concern’ (kebimbangan) saya sekarang ini adalah tiada lagi kawasan untuk bertanding (pada PRU-15),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Perubatan Dermatologi dan Estetik Asia (ADAMS), di sini hari ini.

Beliau mengulas beberapa kebimbangan yang dikatakan dibangkitkan Kabinet pada mesyuaratnya Rabu lalu sebelum bersetuju mengadakan PRU-15 pada tahun ini.

Antara kebimbangan berkenaan adalah musim banjir, selain mempertimbang keputusan enam negeri yang tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Awal bulan ini, Khairy mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan yang mahu bertanding di Rembau.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN kemudian mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU15, namun tidak menyatakan sama ada di Rembau atau lokasi lain.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ketua UMNO Bahagian Rembau itu berkata kedudukan calon dan kerusi bagi BN mahupun UMNO belum dimuktamadkan dan kenyataannya berkaitan Rembau sebelum ini hanya mengenai soal kesiapsiagaan jentera parti.

Khairy bagaimanapun mempertahankan pendedahannya adalah benar dan beliau tidak perlu membuktikannya, sambil menegaskan akan menyelesaikan isu itu secara tertutup.

Related posts

Leave a Comment