Dr Mahathir sedia jadi PM kali ketiga

SERDANG 24 Sept. – Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekiranya tiada pilihan calon lain yang sesuai.

Bagaimanapun , Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan sekiranya beliau memegang jawatan itu buat kali ketiga, ia bukanlah untuk tempoh selama lima tahun, tetapi mungkin hanya untuk setahun.

Beliau sebenarnya lebih suka berehat dan memainkan peranan sebagai pakar rujukan namun sekiranya desakan demi desakan datang, beliau tidak keberatan untuk menerima tawaran berkenaan.

“Kalau nak kira, kalau nak fikir tentang kedudukan saya, saya lebih suka kalau boleh berehat. Walaupun berehat, saya akan main peranan sebagai pakar rujukan, umpamanya… ataupun memberikan nasihat.

“Itu kita boleh buat tapi kalau desakan demi desakan datang, saya nak fikir tentang diri sendiri…susah. Jadi kalau desakan datang sampai tak ada orang dah, saya terimalah.

“Tapi tak boleh sampai lima tahun, mungkin satu tahun saja… “ katanya semasa menjawab soalan ketika program ‘Hard Talk with Dr Mahathir’ di Pusat Konvensyen Bangi di sini.

Beliau menjelaskan Pejuang  tidak ditubuhkan untuk memenuhi agenda mengangkatnya semula sebagai perdana menteri.

“Saya tidak menubuhkan Pejuang untuk jadi perdana menteri kali ketiga. Itu bukan niat saya. Saya cuma nak tentukan dasar yang menolong orang Melayu dapat dilaksanakan oleh kerajaan yang prihatin, yang sayang kepada bangsa, negara dan agama,” katanya

Dr. Mahathir turut menegur kepincangan tadbir urus kerajaan hari ini, salah satunya disebabkan pemimpin yang tidak layak termasuk tidak mempunyai kelulusan tinggi dilantiksebagai menteri.

“Waktu saya mula terbabit dengan UMNO, saya buat cadangan yang nak jadi calon mesti lulus sekolah standard tertentu, tetapi ramai marah sebab yang tidak ada kelulusan pun nak jadi calon.

“Tetapi (sekarang ini), yang tak ada kelulusan apa pun boleh jadi menteri,” katanya yang kesal kerana trend semasa yang memperlihat calon popular dan meraih sokongan ramai, biasanya diangkat sebagai calon dalam pilihan raya.

Tegasnya, pemilihan sedemikian yang mengakibatkan kualiti pentadbiran dalam kerajaan menurun.

“Saya yakin kalau kita diserang krisis kewangan, tiada siapa boleh laksanakan. Satu daripadanya kerana kualiti pemimpin sudah merosot kerana kita tidak boleh tentukan orang yang dipilih terdiri daripada orang yang ada kelulusan tertentu.

“Kalau tak diberi (jawatan) kepada orang ini, dia akan sabotaj kita, inilah masalah yang kita hadapi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment