Rasuah timbus negara kaya dalam kemiskinan

SHAH ALAM 22 Sept. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, banyak negara yang dianugerahi dengan pelbagai sumber kekayaan tertimbus dalam lumpur kemiskinan dan kemunduran akibat perbuatan rasuah.

Titah baginda, kekayaan negara disalah guna dan hasil mahsul lesap dan akibatnya kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak.

Titah baginda rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.

“Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik,” titah baginda.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika menyempurnakan pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, hari ini.

Buku karya tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan itu diterbitkan EMIR Research.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf merangkap Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bagaimana imbuhan berbentuk kuasa dan kekayaan menyebabkan lebih ramai manusia disesatkan.

“Manusia tanpa sedar, tanpa silu, tanpa malu, tanpa khuatir akan kebarangkalian telah tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik, kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan,” titah baginda.

Titah baginda, manusia mula mendewakan manusia lain dan bersedia menghambakan diri, menggadai prinsip serta menjual maruah dan harga diri kepada manusia lain kerana wang, kuasa, pangkat dan jawatan.

“Telah ada manusia yang sanggup bersekongkol dan bersubahat melakukan kemungkaran serta tergamak berbohong, kerana lupa bahawa punca rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan datangnya daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

“Rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan sebenarnya ialah anugerah dan juga ujian daripada Ilahi. Sedarilah! sumber kuasa yang diperoleh melalui sogokan belum terjamin dikembari dengan kesetiaan,” titah baginda.

Menurut Sultan Nazrin, sifat sebenar insan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, kata tidak lagi dikotakan, malah begitu cepat bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam.

“Watak sebenar insan akan terpamer apabila telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyap budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak,” titah baginda.

Sultan Nazrin juga menyarankan aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah menumpukan usaha itu kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya.

Titah baginda, kesedaran antirasuah perlu disemai dalam kalangan mereka serta membina kekuatan memerangi rasuah bermula dari tenaga muda berkenaan.

Pada masa sama, aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah juga hendaklah memiliki semangat kental, menyamai semangat para pemuda Ashabul Kahfi yang diberikan perlindungan oleh Allah dengan ditidurkan selama lebih 300 tahun kerana sifat gigih mereka mempertahankan iman meskipun menghadapi pemerintah yang zalim.

“Dalam gerakan melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, jangan sama sekali berputus asa memohon petunjuk dan kekuatan daripada Ilahi. Teruskan usaha dan teruskan berdoa memohon kemenangan daripada Allah,” titah baginda..

Related posts

Leave a Comment