SINGAPURA 17 Mei – Presiden Halimah Yacob menyampaikan ucap takziah kepada pemimpin Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan atas pemergian bekas pemimpin UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.
Presiden Halimah berada di UAE semalam bagi mewakili Singapura di majlis perkabungan rasmi Almarhum Sheikh Khalifa.
Dalam catatannya di Facebook, Presiden Halimah berkata Sheikh Khalifa disayangi oleh rakyat UAE dan akan dirindui.
“Di bawah kepemimpinan Sheikh Khalifa, UAE mencatatkan kemajuan dan perkembangan yang stabil. Hubungan antara Singapura dengan UAE juga semakin kukuh sejak Sheikh Khalifa menyambut kedatangan mantan Presiden Singapura S R Nathan semasa lawatan rasmi pada 2009,” kata Halimah.
Allahyarham Sheikh Khalifa dilaporkan meninggal dunia pada usia 73 tahun pada Jumaat lalu,13 Mei.
Presiden Halimah turut diiringi Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.
Menyusuli pemergiannya, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dilantik sebagai Presiden UAE dan raja Abu Dhabi.
Presiden Halimah juga mengucapkan tahniah kepada Sheikh Mohamed atas pelantikannya sebagai Presiden UAE.
“Sebelum ini, saya menjadi tuan rumah ketika beliau membuat lawatan rasmi ke Singapura pada Februari 2019. UAE merupakan rakan kerja Singapura sejak dahulu lagi dan juga dihargai, dan saya alu-alukan untuk bekerjasama dengan Sheikh Mohamed bagi mendalami hubungan dua hala kami,” kata Halimah.