Amalan rasuah pada skala membahayakan

SHAH ALAM 22 Sept. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, amalan rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala yang membahayakan berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Justeru titah baginda, semua pihak tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan gajah rasuah di hadapan mata.

Titah baginda,  penilaian keadaan rasuah, wajib dilakukan secara jujur – secara ikhlas, secara objektif – secara fakta, dijadikan bukti bahawa kita sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah.

Sambil menyifatkan rasuah penyakit bersifat barah, ia menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi, ia akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.    

Dalam hubungan ini baginda menarik perhatian, daripada 180 buah negara yang dinilai oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020,  ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021 dan kini dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

Baginda bertitah demikian semasa melancarkan buku tulisan Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ di sini hari ini.

Titah baginda, semua pihak wajib bersifat berani mengakui, berhubung realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran dan penemuan berkenaan.

Ini kerana menurut baginda, pelakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma sebelum meresap menjadi budaya yang akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa apabila tiada kesungguhan membanteras jenayah itu.

Titah baginda, aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diwarwarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah, jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.

“Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment