Jaminan jaga kepentingan Sabah, Sarawak

MELAKA 16 Sept. – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengulangi jaminan bahawa kerajaan memberi perhatian kepada isu berkaitan kepentingan Sabah dan Sarawak, seperti dinyatakan pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu.

Katanya, kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, selain menjelaskan ia dibuktikan menerusi Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, pada 14 Disember 2021.

“Sebagai Pengerusi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963, saya akan memastikan hak bagi Sabah dan Sarawak seperti mana yang terkandung dalam perjanjian MA63 adalah terpelihara.

“Majlis Khas ini bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi juga memberi penekanan kepada usaha membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini.

“Umpama peribahasa bersukat sama paras, bertimbang sama berat, kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan pesat, seperti negeri lain di Semenanjung.

“Kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan RM5.6 bilion untuk Sabah, manakala RM4 bilion untuk Sarawak tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment