Pertahan perpaduan Keluarga Malaysia

MELAKA 16 Sept. – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan Keluarga Malaysia bahawa musuh yang memecahbelahkan perpaduan datang dalam pelbagai bentuk ekonomi, politik dan sosial.

Katanya, pada masa yang sama anasir luar juga giat berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara.

Justeru beliau mengingatkan jika anasir ini berleluasa dan memuncak, ia   dibimbangi akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan Keluarga Malaysia.

“Laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan, mencetuskan perselisihan kaum dan agama yang boleh melemahkan Keluarga Malaysia seterusnya memusnahkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali; Timbalan Premier Sarawak,  Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah,  Dr Jeffrey Kitingan.

Ismail Sabri berkata, proses membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional perlu terus dipertahan, demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara bangsa.

Perdana Menteri berkata, ini kerana proses menyatupadukan pelbagai negeri dengan latar belakang demografi yang rencam dan berbeza, selain faktor geografi dan Laut China Selatan yang menjadi pemisah bukanlah satu tugas mudah.

Beliau juga mengingatkan Keluarga Malaysia cabaran dan ancaman dihadapi negara semakin besar serta bertambah kompleks seiring pertambahan usia pembentukan Malaysia.

Persekutuan Tanah Melayu lahir sebagai negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957, kemudian pembentukan Malaysia pada tarikh keramat 16 September 1963, adalah bukti penyatuan niat dan tekad kesungguhan, pejuang bangsa terdahulu. Mereka berjuang bersandarkan satu iltizam.

“Nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Mohammad Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee, Tun Jugah Anak Barieng, dan Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha, adalah antara tokoh yang menoktahkan rundingan penubuhan Malaysia. Mereka inilah antara pejuang yang mewariskan kita nikmat kemakmuran.

Beliau berkata memupuk perpaduan Keluarga Malaysia terdiri pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya serta taraf sosioekonomi adalah agenda besar dan penting bagi kerajaan demi kelangsungan negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

Katanya, nilai berteraskan ‘Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran’ adalah ramuan penting dalam usaha membina kekuatan seluruh Keluarga Malaysia supaya terus teguh bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran menghadapi gelombang serta arus globalisasi.

Beliau berkata, nilai berkenaan antara jaminan kepada kelangsungan untuk Malaysia terus kekal sebagai negara aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

“Bersendikan konsep tasamuh (hidup saling bertoleransi, harmoni dan selesa, menjauhi diri dari sifat prasangka serta curiga) digariskan Islam, segala perbezaan dan kepelbagaian dikurniakan Tuhan di bumi bertuah ini mampu dirai dan dihargai Keluarga Malaysia dengan hati terbuka.

“Malaysia dibentuk dan dibangunkan dengan memberi jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Semua ahli Keluarga Malaysia bebas mengamalkan budaya warisan bangsa, menguasai pelbagai bahasa serta menganut agama dianuti daripada leluhur masing-masing,” katanya.

Related posts

Leave a Comment