GTA bergerak berasingan hadapi PRU

SERDANG 16 Sept. – Gerakan Tanah Air (GTA) akan bergerak berasingan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa kerjasama dengan mana-mana parti yang terlibat rasuah ataupun terlibat mendirikan kerajaan melalui pintu belakang.

Pengerusi Penaja GTA Dr Mahathir Mohamad berkata, gerakan itu merangkumi parti politik Melayu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan daripada ahli akademik dan profesional yang cinta kepada negara.

“Dan mereka ingin berjuang dalam politik untuk kembalikan negara kepada dahulunya yang dikenali sebagai Asian Tiger yang bersih, cekap dan amanah,” katanya pada sidang media di Konvensyen Pejuanita Malaysia di sini hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata demikian ketika ditanya sama ada GTA akan menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 nanti.

Mengenai status pendaftaran GTA kepada Jabatan Pendaftaran umi (RoS), beliau berkata perkara itu dijangka diketahui bulan hadapan.

“Kita menunggu bulan depan baru pihak RoS akan putuskan sama ada GTA akan didaftar. Jadi saya harap janganlah didaftarkan sehari sebelum bubar kerajaan supaya kita ada masa untuk menyiapkan GTA untuk PRU15,” katanya.

GTA telah menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada RoS pada 6 Sept lepas dengan empat parti gabungan di bawahnya iaitu Pejuang, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk menjadi perdana menteri sekiranya GTA menang PRU15, Dr Mahathir berkata setakat ini beliau belum membuat sebarang keputusan namun katanya banyak pihak menggesanya memegang jawatan itu.

Mengulas mengenai Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ia perlu diluluskan sebelum PRU15 diadakan bagi mengelakkan timbul permasalahan pada masa hadapan kerana kebarangkalian berlaku perubahan dalam dasar belanjawan tersebut jika kerajaan kini tewas PRU15.

“Kita berhadapan kemungkinan PRU15 diadakan maka terpulang kepada pihak kerajaan putuskan sama ada mereka akan meluluskan bajet dahulu sebelum adakan PRU15 atau adakan PRU15 sebelum (meluluskan) bajet. Kalau adakan PRU15 sebelum bajet maka akan timbul banyak masalah pada masa hadapan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment