Segera penambahbaikan ACFTA

PUTRAJAYA 16 Sept. – Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) harus menjadi asas hubungan perdagangan ASEAN-China, selain terus berperanan memudahkan perdagangan antara kedua-dua pihak bagi manfaat perniagaan dan komuniti serantau.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, di sebalik cabaran getir akibat berlakunya pandemik Covid-19 ini, kerjasama dan jalinan hubungan perdagangan pelbagai hala perlu ditingkatkan bagi mendepani krisis-krisis luar jangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan berikutan ketidaktentuan geopolitik dunia.

Berucap secara maya pada majlis perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-19 hari ini, Ismail Sabri berharap pihak ASEAN dan China dapat menyegerakan penambahbaikan ACFTA untuk manfaat bersama.

Jelas beliau, ini adalah kerana persetujuan sudah diberikan kepada Kajian Kebolehlaksanaan Bersama bagi mempertingkatkan keberkesanan ACFTA untuk memastikan perjanjian itu menjadi lebih inklusif, moden dan komprehensif.

Selain itu, menurut Perdana Menteri, langkah mempelbagaikan usaha dalam bidang perdagangan dan pelaburan amat penting supaya wujud kerjasama yang berterusan antara ASEAN dan China.

Katanya, seperti dinyatakan dalam Rangka Kerja Pemulihan Ekonomi ASEAN (ACRF), usaha serantau perlu ditingkatkan bagi mengekalkan kesinambungan rantaian bekalan dan mempermudahkan pergerakan barangan serta perkhidmatan dengan menghapuskan halangan perdagangan.

“Langkah ini perlu disokong juga dengan infrastruktur utama seperti pelabuhan, lapangan terbang dan jaringan logistik yang bersesuaian bagi memastikan aktiviti perdagangan dapat berjalan lancar, sekali gus dapat menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi serantau,” katanya.

Perdana Menteri berkata, perkembangan itu amat kritikal terutama bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi bagi sesebuah negara.

“Sehubungan itu, saya ingin menyarankan supaya ASEAN dan China mempergiatkan kerjasama dalam perkongsian ekonomi digital bagi memacu penggunaan teknologi dalam kalangan PMKS ke arah memperkasakan perniagaan mereka,” katanya.

Mengenai Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pula, Ismail Sabri berkata, perjanjian yang dimuktamadkan selepas lapan tahun rundingan sebagai isyarat positif kepada dunia ASEAN dan China bersama-sama negara anggota RCEP lain juga komited terhadap integrasi ekonomi, memastikan rantaian bekalan transnasional tidak terjejas dan memastikan pasaran terus terbuka.

Related posts

Leave a Comment