PTPTN M40 naik kepada 100 peratus

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi golongan M40 kategori M1 dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40, sebagai antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.

“Percayalah, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan mahasiswa dan mahasiswi, …banyak lagi yang akan kita umumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,” katanya.

Beliau mengumumkan demikian semasa berucap merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Dr Noraini Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dr Maximus Ongkili; Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Affendi Buang.

Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diadakan di setiap institut pengajian tinggi (IPT) mulai Oktober bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa.

Ismail Sabri juga meminta mahasiswa supaya terus berjuang mengekalkan jati diri, budaya dan bahasa dengan memainkan peranan penting sebagai pembina bangsa dan memaknakan kemerdekaan sepertimana pembina bangsa terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Mahasiswa Keluarga Malaysia juga digesa memberikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai satu cara untuk menyatakan kecintaan kepada negara.

“Saya juga menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa.

“Baru-baru ini, pengarah filem tersohor negara U-Wei Saari memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow (Russia) apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan bahasa Melayu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam konteks pendidikan tinggi, banyak cara dan perkara boleh dilakukan dalam menzahirkan semangat patriotik dan perjuangan terpenting mahasiswa ketika ini adalah kekal menjadi benteng teguh dalam memastikan hubungan Keluarga Malaysia yang majmuk terus erat.

Beliau juga mahu semangat mencintai negara dalam kalangan mahasiswa hendaklah terus digilap dan dipupuk serta dipertahankan menerusi pelbagai wahana berbentuk kenegaraan.

Sesuai dengan tema program hari ini, ‘Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia’, Perdana Menteri turut yakin golongan itu akan berupaya menjelmakan satu gelombang momentum semangat kesetiaan dalam melaksanakan kewajipan sebagai benteng kedaulatan dan maruah negara.

“Berpeganglah pada lima prinsip Rukun Negara dengan pasakkan tekad yang teguh untuk tetap bersatu dalam kepelbagaian dan jangan sekali-kali membiarkan anasir luar mengganggu-gugat kesepaduan kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment