PAC bebas siasat projek binaan OPV

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bebas menyiasat projek pembinaan tiga kapal peronda luar pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bernilai RM740 juta yang masih belum siap, lewat dua tahun daripada tarikh asal.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata PAC adalah badan bebas yang dianggotai wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang.

Beliau berkata, PAC berhak memanggil mana-mana individu, jabatan, agensi kerajaan atau kementerian atau pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan berhubung sebarang isu berbangkit membabitkan kepentingan umum.

“Kita dimaklumkan dalam pembinaan, dan sepatutnya sudahpun siap dalam waktu terdekat ini. Jadi kita tunggulah, saya pun tidak mendapat gambaran lanjut dan perincian tentang OPV tersebut,” katanya selepas Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022, hari ini.

Kontrak pembinaan tiga OPV berkenaan untuk Maritim Malaysia dianugerahkan kepada syarikat tempatan, THHE Destiny pada 2017.

Laporan media sebelum ini menyebut, syarikat induknya TH Heavy Engineering Bhd yang diklasifikasikan sebagai PN17 kini menanggung kerugian terkumpul RM629.8 juta dan hutang bernilai RM165 juta sehingga menimbulkan persoalan mengenai kemampuan syarikat itu menyiapkan OPV seperti dijanjikan.

Kapal OPV berkenaan direka bentuk mengikut rekaan Damen 1800, berkeupayaan melaksanakan operasi laut dalam sehingga tempoh maksimum 21 hari tanpa perlu kembali ke pangkalan bagi menambah bekalan.

OPV berukuran 83 meter panjang dengan 13.7m lebar, berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal ronda kecil.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia dalam sidang media Selasa lalu berkata pandemik Covid-19 dikatakan menjadi punca kelewatan penyerahan tiga OPV yang sepatutnya diterima tahun lalu. OPV berkenaan masih dalam pembinaan di Pulau Indah, Selangor.

“Kapal OPV 1 yang sepatutnya dilancarkan ke air pada hari ini (Selasa lalu), 13 September 2022 masih gagal dilakukan kerana kapal masih tidak berjaya dibawa ke lokasi pelancaran.

“Berikutan itu syarikat berkenaan akan mengubah cara pelancaran iaitu daripada Launching Cradle kepada sistem pelancaran Air Balloon dan ia dijangka direalisasikan pada 10 Oktober ini.

“Sekiranya semua berjalan lancar dan jika pelancaran itu dapat direalisasikan pada tarikh berkenaan, besar kemungkinan untuk kapal OPV 1 dapat diserahkan kepada pihak kami pada awal 2023,” katanya.

Related posts

Leave a Comment