Pas elak mudarat lebih besar

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Pas menolak menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sejak awal lagi bagi mengelakkan ‘mudarat politik’ lebih besar dan lebih parah akibatnya kepada negara.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata Pas mempunyai pengalaman paling lama dalam bertahaluf dengan beberapa parti yang ada bersamanya.

“Secara tegasnya, Pas menolak mudarat politik (dalam PH) yang memberikan akibat lebih besar dan parah kepada negara yang boleh merobohkan asas, sehingga ia boleh mematahkan cabang penting termasuk membolehkan hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang Kerajaan Pusat, walaupun dalam tempoh singkat berbanding BN yang paling lama memerintah sehingga ditolak rakyat dalam PRU-14 berikutan salah laku dan rasuah.

“Ramai dalam kalangan PH tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Paling ramai juga melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji manis dan bohong (seperti rasuah). Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman,” katanya.

Beliau menyatakan demikian melalui Minda Presiden Pas : Mengapa Pas menolak Pakatan Harapan di Facebooknya hari ini

Menurut Abdul Hadi, dalam PH terkumpul kalangan mereka bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, Rukun Negara dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi agama rasmi.

Bahkan, terdapat kalangan PH fanatik bencikan Melayu dan Bumiputera, tanpa mempedulikan hak terhadap agama lain dan kaum yang sudah mencukupi.

“Pas tetap mempertahankan hak Melayu, Bumiputera dan Islam, termasuk bahasa menjadi teras kepemimpinan negara ini tanpa menghapuskan bangsa dan bahasa lain.

“Ini kerana, Islam mengajar bangsa Melayu ini agar tidak bersikap fanatik perkauman yang dapat disaksikan dalam masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau juga menegaskan Pas menentang teori ‘Malaysian Malaysia’ dan menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia.

“Pas menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halau dia kerana tidak mengenang budi,” katanya.

Abdul Hadi berkata, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam PH menegaskan ideologi sekular secara terbuka, sehingga mereka menolak prinsip agama dalam politik.

“Selain itu, ada dalam kalangan mereka bersikap pragmatik mahu berkuasa semata-mata tanpa ideologi yang ingin diperjuangkan, menyebabkan mereka menjadi hanyut dan mudah melompat,” katanya.

Di samping itu, beliau mengatakan ada pihak yang lantang menentang usaha Pas dalam melaksanakan Islam secara demokrasi, sehingga mereka terus mempertahankan undang-undang warisan penjajah dan sistem kehakimannya yang rapuh.

“Maka, perlu dibatalkan perkara itu kerana menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum Islam yang adil kepada semua dan wajib ke atas umat Islam untuk ditegakkan,” katanya.

PH juga tidak menunaikan manifesto seperti janji menghapuskan tol, menangguh bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain, yang disifatkan satu penipuan dan pembohongan yang menghilangkan sifat (adil) yang menjadi syarat penting dalam ajaran Islam, sekali gus menghilangkan kelayakan berpolitik dan berdosa sebagaimana perbuatan rasuah.

“Pengalaman Pas bertahaluf siyasi dengan beberapa parti komponen dalam PH, memberikan suatu pengalaman cukup matang kepada Pas untuk mengenali lebih dekat betapa mereka cuba menghalang perjuangan Islam,” katanya.

Beliau berkata, PH yang berdegar-degar menentang rasuah dan salah laku, namun sewaktu memerintah dan berkuasa mereka terlalu lemah menanganinya berikutan sikap pragmatik dan sekular menjadikan mereka berkocak sesama sendiri.

“Hal ini disebabkan mereka lebih sibuk berebut jawatan Perdana Menteri dan lain-lain.

“Bahkan, mereka mengambil tindakan secara terpilih, sehingga ada dalam kalangan mereka yang ditamatkan proses mahkamah di pertengahan jalan. Malah, ada juga tidak meneruskan pendakwaan yang sangat meragukan, begitu juga ada yang dipilih untuk diteruskan sehingga memakan masa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menerima bebanan selepasnya dan ada pula seolah-olah media menjadi hakim dan seterusnya,” katanya.

“Pengampunan terhadap pemimpin pilihan idaman kalbunya yang telah disabitkan di mahkamah adakah mengikut proses yang ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan dengan sempurna?,” katanya.

Sementara itu, PH juga didakwa tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah pada jenamanya.

“Pas sentiasa memerhatikan sejak awal segala pendekatan PH yang tidak beradab terhadap jentera kerajaan dan rakyat sangat tidak sopan, melebihi kelemahan yang berlaku kepada BN yang menjadi sebab kejatuhannya.

“Pas tidak bersedia memasuki khemah besar PH kerana tidak boleh memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengubati penyakit salah laku dan rasuah yang membarah dalam BN sehingga menumbangkannya.

“Hal ini demikian, tokoh sama di dalamnya menjadi punca rasuah tersebut serta mencipta tokoh muda yang diajar dengan amalan rasuah,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, Pas menolak PH kerana kerajaannya laksana pokok yang tidak berakar tunjang dengan teguh dan ini menyebabkan kuasanya boleh dicabut dengan mudah atau tumbang menghempap sesiapa sahaja.

“Pas dengan kemampuan mentadbir kerajaan negeri dan beberapa kementerian yang diamanahkan dengan bidang kuasa yang terhad tetap berusaha membuktikan Islam sahaja berjaya mencipta integriti yang sebenarnya, tidak palsu dan berpura-pura.

“Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) tanpa dendam menjadi pegangan Pas, walaupun Pas parti paling ramai pemimpin dan ahlinya menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak zaman penjajah sehinggalah merdeka. Bahkan, ada yang mati terkorban bukan sahaja ditahan dan dibuang daerah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment