WASHINGTON – Tinjauan bersama oleh The Washington Post dan Ipsos mendapati kira-kira 66 peratus rakyat Amerika Syarikat (AS) menyifatkan harga barang runcit sebagai tidak mampu milik, meningkat ketara berbanding 45 peratus berpandangan sama pada Februari, sebelum tercetusnya konflik AS dan Iran.
Pada Februari, 54 peratus responden menyifatkan harga barang runcit masih mampu milik, tetapi angka itu merosot kepada 33 peratus dalam tinjauan terbaharu.
Tinjauan turut mendapati separuh daripada penyokong Parti Republikan menganggap harga barang runcit masih mampu milik, berbanding hanya kira-kira 25 peratus dalam kalangan pengundi bebas dan penyokong Parti Demokrat yang berpandangan sama.
Sementara itu, 56 peratus isi rumah dengan pendapatan melebihi US$100,000 setahun menyatakan kos barang runcit tidak mampu milik.
Peratusan itu meningkat kepada 70 peratus bagi isi rumah yang berpendapatan antara US$50,000 hingga US$100,000 dan 82 peratus bagi isi rumah yang berpendapatan kurang daripada US$50,000.
Tinjauan itu dijalankan secara dalam talian dari 8 hingga 13 Julai melibatkan 2,648 rakyat AS yang berumur 18 tahun ke atas, dengan margin ralat sebanyak 1.9 mata peratusan.
AS dan Israel pada 28 Februari melancarkan serangan ke atas sasaran di wilayah Iran yang kemudiannya mendapat tindak balas Iran dengan melancarkan serangan ke atas wilayah Israel serta kemudahan ketenteraan AS di Asia Barat.
