MN: Pas tunggu keputusan MKT UMNO

SEBERANG JAYA 15 Sept. – Pas akan menunggu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung nasib Muafakat Nasional (MN) sebelum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, bagaimanapun mengesahkan terdapat rundingan dan perbincangan sedang dibuat dalam kalangan pemimpin negeri dan akar umbi kedua-dua parti berhubung perkara itu.

“Kita akan tunggu keputusan MKT UMNO terlebih dahulu. Lagipun, masih ada masa sebelum pembubaran parlimen.

Setakat ini, belum ada keputusan sama ada pembubaran Parlimen akan berlaku tahun ini atau 2023.

“Kita bersedia untuk berbincang dengan mana-mana parti. Dalam politik Malaysia, kita bebas berbincang walaupun dengan parti pembangkang,” katanya selepas merasmikan Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik melalui Sambungtara Talian Atas di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang menjelaskan MKT UMNO akan menentukan keputusan sama ada parti itu akan berunding dengan Pas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu dilapor mengulas kenyataan Takiyuddin sebelum ini mengenai Pas kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah, termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama tolong-menolong) terutama dalam membina negara yang baik dan diredai Tuhan.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang, Ahad lalu. BN setakat ini belum memuktamadkan keputusan sama ada bergerak solo pada PRU-15 atau sebaliknya.

Related posts

Leave a Comment