PH selesai bahagi kerusi akhir September

SEREMBAN 15 Sept. – Pakatan Harapan (PH) dijangka menyelesaikan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menjelang akhir bulan ini, kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, kedudukan calon tidak dapat ditentukan dalam tempoh terdekat kerana ia di bawah pengurusan parti masing-masing dalam gabungan itu.

Bagi PKR, kedudukan calon PRU-15 akan dapat dimuktamadkan menjelang 15 Oktober depan.

Rafizi berkata, setiap parti dalam gabungan itu iaitu PKR, Amanah dan DAP bakal mendapat pertambahan kerusi di mana 52 kerusi di Semenanjung yang dulunya ditandingi Bersatu pada PRU-14, akan dibahagikan kepada semua parti dalam PH.

“Soal calon dijangka dimuktamadkan di peringkat tertinggi Majlis Presiden PH,” katanya ketika ditemui pemberita sempena sesi pemukiman atau`retreat’ kepemimpinan PH di sini, hari ini.

Mengenai sesi pemukiman berkenaan, beliau berkata ia membabitkan 120 pemimpin PH dengan setiap parti dan ahli gabungan diwakili 30 orang dengan dipengerusikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, tumpuan diberikan kepada persiapan jentera parti dan strategi menghadapi PRU-15, yang mungkin akan diadakan pada bila-bila masa.

Related posts

Leave a Comment