Ah long berleluasa disebabkan permintaan tinggi

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Kegiatan ‘Ah long’ atau ceti haram masih berleluasa disebabkan adanya permintaan tinggi daripada masyarakat di samping tawaran pinjaman lebih mudah dan senang berbanding institusi perbankan dan kewangan berlesen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kesukaran mendapatkan pinjaman daripada institusi perbankan serta juga institusi kewangan berlesen mendorong masyarakat beralih kepada Ah long.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Che Mohamad bertanyakan mengenai usaha kerajaan untuk mengatasi kes keganasan membabitkan Ah Long atau pemberi pinjaman wang tanpa lessen, memandangkan semakin banyak kes menunjukkan mereka merosakkan harta benda orang awam secara sewenang-wenangnya.

Menurut Shamsul Anuar, rekod pada 2021 menunjukkan 1,067 kes tangkapan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan Seksyen 29(a) Akta 40.

Pada 2022 pula, jumlah kes adalah 1,009 dan tangkapan juga dibuat sebanyak 1,262 dengan kerajaan turut melaksana pelbagai kaedah untuk memastikan berkaitan kegiatan Ah long dapat ditangani.

“Antaranya kita tingkatkan keupayaan PDRM untuk tangani isu ini termasuk (pemantauan) menggunakan media sosial. Ah long sudah berubah, dulu tampal iklan di stesen bas dan kawasan awam, tetapi kini sudah beralih menggunakan media soaial.

“Di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, kita sudah ada unit korporat siber untuk tingkatkan usaha menangani kes ini, selain kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Samsul Anuar berkata, kementerian menyedari isu Ah long besar dan mencabar untuk ditangani, namun buat masa ini tindak balas dilakukan agensi penguat kuasa tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Katanya , polis tidak memberi bantuan secara khas kepada peminjam Ah long tetapi bertindak pantas jika peminjam diganggu.

“Polis memang memandang serius (kes membabitkan ancaman Ah long) dan kita sentiasa meningkatkan kesedaran awam berkaitan isu pinjaman ini supaya mereka meneliti dengan betul sebelum membuat sebarang pinjaman,” katanya.

Related posts

Leave a Comment