AS lulus jualan 500 peluru berpandu Patriot

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan 500 peluru berpandu pemintas Patriot bernilai kira-kira AS$2.1 bilion (RM8.52 bilion) kepada Ukraine bagi membantu negara itu mempertahankan diri daripada serangan udara Rusia yang semakin meningkat.

Menurut kenyataan Jabatan Negara AS, pembelian peluru berpandu pemintas canggih PAC-3 itu akan dibiayai sepenuhnya oleh sekutu Ukraine di Eropah serta Kanada.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, sebelum ini berulang kali menggesa Washington mempercepatkan penghantaran sistem Patriot, yang dianggap senjata paling berkesan untuk memintas peluru berpandu balistik Rusia.

Kelulusan itu diberikan beberapa hari selepas berlaku ketegangan diplomatik antara Zelensky dan Presiden AS, Donald Trump, yang menyatakan sudah tiba masanya Ukraine mendapatkan pemimpin baharu bagi membantu menamatkan perang dengan Rusia.

Jabatan Negara AS berkata penjualan itu selaras dengan kepentingan dasar luar dan keselamatan negara tersebut kerana ia membantu meningkatkan keselamatan sebuah negara rakan yang memainkan peranan penting dalam kestabilan politik dan ekonomi di Eropah.

Menurut kenyataan itu, Ukraine akan membayar pembelian berkenaan menggunakan sumbangan daripada Kanada, Jerman dan Norway menerusi program JUMPSTART serta dana yang disokong Pinjaman Sokongan Ukraine Kesatuan Eropah (EU).

Syarikat pertahanan AS, Lockheed Martin, akan menjadi kontraktor utama bagi pembekalan peluru berpandu tersebut, manakala kerajaan AS menegaskan tiada dana Amerika digunakan dalam urus niaga itu.

Sebelum ini, pada awal minggu ini, Zelenskyy berkata Ukraine telah menunggu hampir sebulan untuk mendapatkan kelulusan Washington bagi bekalan peluru berpandu yang amat diperlukan.

Dalam hantaran di Telegram pada Jumaat, beliau turut melaporkan bahawa peluru berpandu balistik Rusia telah melanda dua wilayah Ukraine.

Ukraine sebelum ini mengakui bekalan sistem Patriot berada pada tahap kritikal ketika Rusia meningkatkan serangan terhadap infrastruktur tenaga negara itu menjelang musim sejuk.

Keperluan terhadap peluru berpandu Patriot turut berdepan cabaran bekalan global kerana permintaan yang tinggi, termasuk penggunaannya oleh AS dalam konflik melibatkan Iran.

Bagaimanapun, penghantaran kepada Ukraine dijangka mengambil masa kerana tempahan itu melibatkan pengeluaran baharu dan bukannya stok sedia ada.

Data Jabatan Pertahanan AS menunjukkan kira-kira 600 peluru berpandu Patriot dihasilkan setiap tahun,  menjadikan proses pembekalannya memerlukan tempoh yang agak panjang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment