Kedudukan terbaik pelaburan digital

BAYAN LEPAS 13 Sept. – Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk mencapai sasaran pelaburan digital RM70 bilion pada 2025, seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, di samping itu infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem digital holistik, bakat digital berpengetahuan mampu menjadikan Malaysia destinasi pelaburan digital utama di ASEAN.

Katanya, Inisiatif Malaysia Digital (MD) yang dilancarkan Julai lalu, berjaya meraih nilai Pelaburan Digital Langsung Asing sebanyak RM42 bilion yang dijana melalui pelaburan sebanyak 28 syarikat asing terdiri daripada syarikat dalam sektor Pusat Data; Penyedia Perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT); Teknologi Kandungan Kreatif dan Global Business Services (GBS).

Kejayaan ini menurut Ismail Sabri amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, membantu merancakkan inovasi seterusnya melonjakkan lagi ekonomi digital.

“Perkembangan pelaburan digital langsung domestik setakat 24 Ogos lalu telah merekodkan sebanyak RM4.76 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini hari ini.

WCIT 2022 dihadiri lebih 4,000 peserta dari lebih 80 buah negara itu dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Perdana Menteri berkata, Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 melonjak Malaysia negara digital berdaya saing, termasuk ekosistem teknologi dan inovasi

Menerusi usaha tersebut sebanyak 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi sudah diwujudkan dan peluang seumpama itu akan terus meningkat pada masa akan datang.

Ismail Sabri turut berharap kerjasama rentas kementerian dengan agensi yang terjalin erat pada hari ini dapat dilipatgandakan dalam usaha merangsang ekosistem teknologi dan inovasi demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Teknologi digital berperanan penting dalam menangani isu perubahan iklim seperti dilaporkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dengan pemerkasaan teknologi digital dapat mengurangkan 15 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030,” katanya.

Beliau juga melihat pandemik Covid-19 menjadi pendorong utama bidang teknologi digital dalam penjagaan kesihatan dengan penggunaannya bukan sahaja mampu membendung penularan wabak itu bahkan berupaya meningkatkan akses kepada kesedaran penyakit-penyakit lain serta risikonya termasuk kesihatan mental.

Related posts

Leave a Comment