Perjumpaan ‘Top 5’ dalam tempoh terdekat

BAYAN BARU 13 Sept. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi (‘Top 5’) UMNO bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat.

Ismail Sabri yang juga menduduki kerusi ‘Top 5’ parti iaitu sebagai Naib Presiden berkata, mesyuarat itu mungkin diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober depan.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, semua keputusan akan dibuat ‘Top 5’ UMNO, jadi kita tunggu sehingga mesyuarat bersama ‘Top 5’ diadakan, kita akan buat secepat mungkin, mungkin awal sebelum pembentangan Bajet 2023,” katanya..

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada masih ada peluang PRU15 diadakan tahun ini selepas merasmikan majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (atau WCIT 2022) Malaysia di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini.

Sebelum ini, Ismail Sabri memaklumkan, beliau belum berbincang dengan ‘Top 5’ UMNO berhubung tarikh PRU15.

‘Top 5′ UMNO merujuk kepada Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Mohamed Khaled Nordin,  Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.

Selepas berbincang dengan ‘Top 5’ UMNO, Ismail Sabri akan berbincang pula dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain sebelum membawa ke Kabinet untuk kelulusan seterusnya menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan membubarkan Parlimen.

Related posts

Leave a Comment