Najib kekal di HKL, tidak ke IJN

PUTRAJAYA 13 Sept. – Najib Razak akan terus menerima rawatan di hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL) sesuai dengan prosedur yang ditetapkan ke atas banduan selama ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Najib tidak akan dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana prosedur banduan adalah mereka perlu dirujuk ke hospital kerajaan.

Berikutan itu beliau menafikan Najib akan dibawa ke IJN seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Saya sudah menghubungi Pengarah HKL, Dr Rohana Johan yang memaklumkan Najib kini dalam keadaan stabil. Najib tidak akan dihantar ke IJN kerana prosedur banduan adalah mereka perlu dirujuk ke hospital kerajaan.

Disebabkan tidak mahu ada pertikaian selepas ini, jadi saya minta kepada HKL dan Timbalan Ketua Pengarah Perubatan, Dr Asmayani Khalib, untuk memberikan rawatan susulan yang diperlukan oleh Najib.

Jika ujian kesihatan yang dilaksanakan ke atas Najib sudah selesai, laporan itu akan diserahkan kepadanya (Najib) dan juga mahkamah, jadi tiada lagi pertikaian selepas ini,” katanya selepas Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book Of Record dan Pelancaran Laporan Record Breaking Covid-19 Vaccination, di kementeriannya hari ini.

Sebelum ini, Peguam bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Najib yang dimasukkan ke HKL sejak semalam selepas mengalami masalah tekanan darah itu berkemungkinan akan dirujuk ke IJN.

Tambah Khairy, dua mesyuarat konsultasi turut diadakan bersama keluarga Najib yang disertai Rosmah Mansor.

“Saya sebenarnya tidak mahu beri maklumat lanjut tetapi ia menjadi isu umum, jadi saya kena jawab untuk menjaga integriti KKM,” katanya.

Khairy menjelaskan , pihaknya akan memberi rawatan dan perkhidmatan terbaik kepada semua banduan yang memerlukan rawatan dan bukan hanya kepada Najib semata-mata.

“Kami akan beri rawatan yang terbaik kepada banduan, kerana ia adalah tanggungjawab dan tugas KKM,” katanya.

Mengenai dakwaan pertukaran ubat yang diberikan kepada Najib, Khairy menegaskan, formula ubat yang diberikan oleh HKL adalah sama cuma jenamanya berbeza.

“Ubatnya sama (cuma) dulu ia dibeli di hospital swasta, bila (menerima rawatan) di HKL, kita ada ubat-ubatan di hospital kerajaan yang turut mempunyai formula yang sama macam ubatnya sebelum ini.

“Contohnya macam panadol, kita ada ubat lain macam paracetamol (PCM) yang fungsinya sama. Jadi tuduhan yang kata ubat ditukar itu adalah tidak tepat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment