HSM bakal hospital pakar

LANGKAWI 12 Sept. –  Hospital Sultanah Maliha (HSM) akan dinaik taraf sebagai hospital pakar utama dalam tempoh tiga tahun lagi, bagi memberi perkhidmatan lebih baik kepada pesakit, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata hospital itu memenuhi kriteria dan syarat diperlukan selepas bangunan tambahan bernilai RM515 juta siap sepenuhnya kelak.

Beliau berkata, kos pembinaan bangunan itu membabitkan RM425 juta, manakala pembelian peralatan lebih RM75 juta dibuat bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

HSM juga akan menjadi hospital awam pertama di negara ini memiliki wad kelas ketiga yang dilengkapi pendingin hawa untuk keselesaan pesakit, keluarga yang menemani dan warga kerja hospital.

“Saya juga akan mohon semua hospital baharu selepas ini, mempunyai wad kelas ketiga dilengkapi kemudahan sama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan HSM di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pembinaan bangunan baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) itu bakal memuatkan 220 katil, sekali gus menjadikan keseluruhan katil hospital itu meningkat kepada 330.

“Untuk fasa seterusnya, permohonan akan diajukan kepada Kementerian Kewangan bagi mewujudkan Jabatan Forensik, (ketika ini) bila ada kematian di luar hospital, bedah siasat (mayat) terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

“Saya juga meluluskan peruntukan mewujudkan ambulans laut dalam tempoh terdekat untuk kemudahan penduduk Pulau Tuba membawa pesakit ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes kecemasan pula, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan menyediakan perkhidmatan penerbangan ‘Medical Evacuation’ ke tanah besar bagi pesakit di HSM.

Related posts

Leave a Comment