Raja Charles III ditabal Raja Britain

LONDON: Dalam upacara penuh adat istiadat, Raja Charles III secara rasmi ditabalkan sebagai Raja baharu Britain oleh Majlis Pemasyhuran hari ini

Majlis berkenaan, acara yang pertama kali disiarkan di televisyen, memaparkan acara rasmi sejak berkurun lamanya bagi mengiktiraf kedaulatan Raja baharu walau baginda secara automatik menggantikan mendiang ratu Elizabeth.

Raja Charles, 73, yang secara rasmi dinobatkan sebagai Raja baharu, bertitah baginda ‘amat menyedari tanggungjawab dan peranan yang dipikulnya sebagai Raja’.

Ratusan orang kenamaan termasuk perdana Menteri, Liz Truss dan semua kerabat diraja termasuk Permaisuri Camilla dan putera sulung yang juga pewaris takhta, Putera William, turut hadir.

Raja Charles turut mengumumkan bahawa Putera William kini bergelar ‘Putera Wales’, manakala isterinya, Kate Middleton pula ‘Puteri Wales’ – gelaran yang pernah disandang ibu Putera William, Puteri Diana yang meninggal dunia pada 1997.

Raja Charles menzahirkan terima kasih kepada bondanya yang dipanggil ‘mama tersayang’, atas kasih sayang serta pengabdian mendiang Ratu kepada keluarga dan seluruh negara.

“Sebagaimana dilakukan Ratu dengan pengabdian tidak berbelah bahagi, kini saya juga bersungguh-sungguh berjanji, dalam tempoh baki masa dianugerahkan Tuhan kepada saya, untuk menegakkan prinsip perlembagaan di negara kita,” titah baginda.

“Kasih sayang dan sokongan rakyat jelata akan menegakkan kedaulatan negara ini,” titah baginda.

Upacara pertabalan berlangsung di bilik utama Istana St James, di mana Majlis Pemasyhuran menyempurnakan dua upacara, yang pertama tanpa kehadiran Raja Charles, apabila baginda ditabalkan sebagai Raja.

Kerani majlis berkenaan mengumumkan bahawa: “Putera Charles Philip Arthur George kini, susulan kemangkatan Ratu yang kita kenang mesra, ditabalkan sebagai Raja Charles III… Tuhan selamatkan Raja!”

Ahli majlis yang hadir kemudian menyahut: “Tuhan selamatkan Raja!”

Pertabalan Raja Charles akan disusuli dengan makluman kepada khalayak umum menerusi tiupan trumpet dan pengisytiharan dari balkoni istana.

Related posts

Leave a Comment