Rokok: KJ harap sokongan Sabah

KOTA KINABALU 10 Sept. – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berharap, Sabah akan turut menyokong akta baharu bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2007.

Khairy, yang akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dalam sidang Parlimen akan datang berkata, langkah itu sebagai usaha memastikan generasi muda tidak terjebak dengan tabiat merokok.

“Semasa pembentangan pindaan RUU berkenaan, saya berharap semua Ahli Parlimen daripada Sabah menyokong kerana ini untuk kebaikan masa depan negara kita.

“Penyebab utama kematian di negara kita adalah penyakit jantung dan kanser paru-paru… saya ada bertanya kepada pakar apa penyebab penyakit itu dan jawapannya adalah rokok. Oleh itu, kita kena menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Agenda Nasional Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) peringkat Sabah yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor di sini hari ini.

Related posts

Leave a Comment