Melaka tarik balik gelaran Datuk CEO GISBH

MELAKA 18 Nov. – – Kerajaan negeri menarik balik Darjah kebesaran Melaka membawa gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Azhar Arshad dalam satu kenyataan memaklumkan arahan dibuat Yang di-Pertua Negeri, Mohd Ali Mohd Rustam selepas mendapat nasihat Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh.

Nasiruddin dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada 25 Ogos lalu.

Berikutan arahan itu, Azhar berkata nama Nasiruddin sudah dikeluarkan daripada senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024.

Penarikan balik darjah kebesaran ini selaras dengan kuasa prerogatif Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.

“Oleh yang demikian, Nasiruddin Mohd Ali tidak dibenarkan mengguna pakai gelaran terbabit dan beliau dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran itu kepada Pejabat SUK Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Mufti Melaka,  Abdul Halim Tawil dilaporkan berkata, Jawatankuasa Fatwa Melaka yang bermesyuarat pada 3 Oktober, memfatwakan ajaran dan amalan dalam GISBH adalah sesat.

Beliau dipetik berkata, ajaran dan amalan dalam GISBH ada ciri persamaan dengan elemen berkaitan ajaran Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994 dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (SRC) yang difatwakan haram pada 2007.

Nnn

Related posts

Leave a Comment