PH muktamadkan kerusi di beberapa negeri

KULAI 9 Sept. – Pakatan Harapan (PH) selesai memuktamadkan pembahagian kerusi Parlimen di beberapa negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Beliau berkata perbincangan mengenai perkara itu dimuktamadkan gabungan berkenaan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.

“Perbincangan mengenai agihan kerusi untuk PRU-15 masih berjalan, namun saya difahamkan dalam mesyuarat semalam, ada beberapa resolusi dicapai dan perkara itu dibawa untuk pengetahuan setiap parti komponen.

Mereka memaklumkan berjaya memuktamadkan kerusi Parlimen di beberapa negeri.

“Ada beberapa negeri di Semenanjung selesai melakukan agihan kerusi untuk PRU-15, ada tiga atau empat negeri yang sudah selesai berbincang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian pejabat baharu DAP Johor di Taman Tropika, di sini, malam ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Pengerusi Parti Amanah Nasional (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan.

Pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Andrew Chen Kah Eng turut diumum sebagai Pengarah Kempen DAP Johor bagi PRU-15.

Related posts

Leave a Comment