Sekatan baharu 30 hari di Bangkok

BANGKOK 27 Jun – Mulai esok, sekatan baharu yang berpusat di Bangkok akan dikenakan selama 30 hari dalam usaha kerajaan memerangi wabak Covid-19 yang semakin menular di ibu negara itu.

Lima wilayah sekitar Bangkok yang turut terlibat ialah Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Praka, Samut Sakhon and Nakhon Pathom.

Sekatan itu yang terkandung dalam Royal Gazette itu antara lain merangkumi larangan makan di restoran dan pusat membeli-belah ditutup pada pukul 9 malam.

Di samping itu, pesta dan perayaan serta aktiviti melibatkan perhimpunan lebih 20 orang juga tidak dibenarkan.

Pada masa yang sama, kerajaan juga mengeluarkan arahan penutupan tapak pembinaan dan tempat tinggal pekerja binaan, bagi membendung penularan kluster baharu.

Arahan itu dikeluarkan susulan lebih banyak kluster baharu muncul daripada tapak pembinaan di ibu negara itu, yang mempunyai 575 tapak pembinaan dan lebih kurang 81,000 pekerja binaan itu.

Sejak Mei, 37 kluster direkodkan melibatkan tempat tinggal pekerja di Bangkok.

Pihak berkuasa juga akan mendirikan pusat pemeriksaan di Bangkok untuk mengehadkan perjalanan dan penempatan semula pekerja binaan.

Kerajaan akan melakukan saringan pekerja bagi mengesan mereka yang dijangkiti dan menyediakan dapur bergerak bagi membekalkan makanan kepada mereka yang terlibat dengan sekatan itu.

Pusat pemeriksaan itu juga akan ditempatkan di empat wilayah selatan negara itu berdekatan dengan Malaysia.

Related posts

Leave a Comment