Muhyiddin sedia dicabar di Pagoh

PAGOH 9 Sept. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin bersikap terbuka dan bersedia berdepan dengan mana-mana individu yang sedia bertanding di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sejak tahun 1978 berkata, beliau berpandangan sesiapa sahaja boleh mempertaruhkan nasib di kerusi itu memandangkan Malaysia sebuah negara berdemokrasi.

Mengulas laporan kononnya Ahli Majlis Tertinggi UMNO Razali Ibrahim bakal bertanding di kerusi Parlimen Pagoh , beliau berlapang dada dan tidak mahu memperlekehkan mana-mana pihak.

“Tak apalah sesiapa nak masuk (bertanding), ini negara demokrasi dan saya tidak mahu memperkecilkan atau mengherdik, saya ‘okay’.

“Dia (Razali) ada kebijaksanaan dia untuk menimbang dan parti dia (UMNO) akan buat buat keputusan dan apa pun saya juga di sini kalau parti saya kata bertanding lagi, saya bertanding lah lagi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Ziarah Prihatin Komuniti Cina di Pekan Lenga, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar akan berpindah kawasan dan bertanding di Parlimen Pagoh sekali gus bakal menyaksikan pertembungan antara dua figura politik itu.

Razali yang sebelum ini menang tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13 tewas pada PRU14, dikalahkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menang dengan majoriti 6,953 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas kesediaan PN menghadapi PRU15 yang dijangka dalam masa terdekat, ujar Muhyiddin, pihaknya sudah bersedia berdepan pilihan raya itu meskipun beranggapan masih ada beberapa faktor yang perlu diambil kira.

“Bagi kami PN kita tidak ada masalah dan esok kalau perdana menteri umum bubar pun kita (parti) dah bersedia dan kekal menghadapinya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment