Program didik masyarakat benci rasuah

PUTRAJAYA 8 Sept. – Dalam usaha mendidik masyarakat membenci amalan rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini membangunkan satu lagi program pengajian berakreditasi bertaraf sijil tahap tiga.

Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki berkata, Sijil Penguatkuasaan Undang-undang Asas (Certificate In Basic Law Enforcement) akan dibuka dan ditawarkan kepada semua agensi penguatkuasaan bagi mengikuti latihan asas.

Program pengajian ini dibangunkan bersama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang akan membabitkan jumlah jam kredit minimum 60 jam kredit atau bersamaan 2,400 jam pembelajaran.

Tempoh pembelajaran ini adalah selama tiga bulan secara bersemuka di MACA dan secara dalam talian (blended learning).

“Sehubungan itu, di kesempatan ini saya ingin mengambil peluang untuk menguar-uarkan dan bersedia menawarkan program pengajian ini kepada semua,” katanya ketika berucap pada Konvokesyen Program Pentauliahan Penguatkuasaan Undang-undang SPRM pertama bagi 2022, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pro Naib Canselor (Antarabangsa) Nottingham Trent University United Kingdom (NTU UK), Profesor Cillian Ryan.

Pada majlis itu, seramai 266 graduan yang terdiri daripada pegawai SPRM menerima sijil tamat pengajian.

Mereka sebelum ini mengikuti Diploma Lepasan Ijazah dalam Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa: Kepemimpinan Anti Rasuah (Tahap 7) dan Diploma Lepasan Ijazah dalam Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa : Kajian Anti Rasuah (Tahap 5).

Program anjuran MACA itu mendapat kerjasama NTU UK.

Azam berkata, strategi teras yang ditetapkan dalam Pelan Strategik SPRM 2021-2025 membabitkan empat bidang teras dan termasuk dalam bidang pendidikan iaitu dengan menyebar luas nilai benci rasuah serta mengukuhkan sokongan masyarakat.

Beliau berkata, kesedaran kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan menyahut seruan kerajaan, mendorong pengurusan tertinggi SPRM bekerjasama dengan NTU UK pada 2017 iaitu selepas mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan modul kurus asas pegawai SPRM bertaraf Diploma Profesional Tahap 5 dan Diploma Lepasan Ijazah Tahap 7.

Katanya, program yang dibangunkan membabitkan pengajian bagi modul siasatan, modul perisikan, modul pendakwaan dan perundangan, modul amalan profesional dan modul kepimpinan selaras dengan kehendak akreditasi NTU UK.

Azam menyifatkan majlis itu suatu peristiwa istimewa dan bersejarah yang julung kali diadakan.

“la adalah sebagai satu terjemahan kepada rasa penghormatan apabila segala usaha sepanjang menimba ilmu pengetahuan berkaitan penguatkuasaan dan pencegahan rasuah diberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada graduan.

“Pencapaian yang dikecapi hari ini pastinya akan terhenti begitu sahaja dan tidak lagi relevan apabila kita tidak melakukan apa-apa perubahan,” katanya.

Pada masa sama, Azam berkata, Jawatankuasa Kecil Perkhidmatan Pengesahan NTU UK juga bersetuju melanjutkan Validation Service Partner For NTU’S School Of Social Sciences sehingga 2027 kepada MACA selepas ia berpuas hati dengan urus tadbir dan dokumentasi berkaitan kedua-dua pengajian.

Related posts

Leave a Comment