Siasatan buku lejar UKSB hampir selesai

PUTRAJAYA 8 Sept. –  Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan individu dinamakan dalam buku lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya sudah memanggil hampir semua individu dinamakan dalam lejar terbabit, setakat ini.

“Saya menjangkakan dalam tempoh terdekat, kertas siasatan akan disiapkan oleh pegawai saya.

“Saya tidak tahu bila (kertas siasatan akan dilengkapkan) tetapi dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media selepas Konvokesyen Program Pentauliahan Penguatkuasaan Undang-undang SPRM pertama bagi 2022, di sini, hari ini.

Buku lejar UKSB adalah bahan bukti dalam perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Azam berkata, apabila selesai, kertas siasatan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan ditetapkan keputusan berhubungnya.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan nama beberapa individu disebut dalam buku lejar berkait sumbangan politik itu selain Ahmad Zahid, antaranya Khairy Jamaluddin,  Muhyiddin Yassin dan Reezal Merican Naina Merican.

Turut disebut ialah Dr Mahathir Mohamad, Hishammuddin Hussein, Mohd Shafie Apdal, Anifah Aman dan Shahril Sufian Hamdan.

Sementara itu, Azam enggan mengulas dakwaan peguam Ahmad Zahid bahawa pertuduhan dikenakan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah bersifat terpilih.

Related posts

Leave a Comment