Nasihat MMA kekalkan pelitup muka

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Kekalkan pemakaian pelitup muka. Itu saranan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kepada orang ramai berikutan keputusan kerajaan melonggarkan peraturan mengenainya semalam.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai, berkata pemakaian pelitup muka mampu menghalang penularan jangkitan sebaran udara, selain Covid-19.

Katanya, ketika negara berdepan jumlah kes jangkitan influenza yang tinggi, penggunaann pelitup muka akan membantu mengawal penularan penyakit bawaan udara termasuk influenza.

“Kita masih perlu kekal berwaspada dan sentiasa menyediakan pelitup muka ketika memerlukan. Saya yakin rakyat kita cukup matang untuk memahami tanggungjawab sosial selepas berperang dengan Covid-19 lebih dua tahun,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Kementerian Kesihatan memutuskan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan kawasan tertutup dijadikan pilihan individu, berkuat kuasa serta-merta.

Pemakaian pelitup muka bagaimanapun masih diwajibkan bagi kes positif COVID-19, dalam pengangkutan awam dan di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan dan pusat hemodialisis.

Pengumuman terbaru itu dibuat selepas empat bulan kerajaan mengumumkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak lagi diwajibkan selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Related posts

Leave a Comment