Kertas siasatan Nazlan kembali ke SPRM

PUTRAJAYA 8 Sept. – Kertas siasatan kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kini berada di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta siasatan lanjut dilakukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata kertas siasatan itu pernah dihantar kepada AGC sebelum ini, sebelum ia dipulangkan untuk siasatan lanjut.

“Mungkin jawapan yang diberikan oleh Tan Sri Peguam Negara adalah ringkas. Mungkin bermaksud tidak ada lagi di tangan beliau.

“Namun, sebenarnya kertas siasatan sudah dikemukakan kepada beliau dan diberi kepada kita balik dan (dihantar) kepada beliau balik dan kepada kami untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Konvokesyen Program Pentauliahan Penguatkuasaan Undang-undang SPRM pertama, bagi 2022, di sini, hari ini.

Sambil mengakui kertas siasatan itu sudah beberapa kali dihantar dan dikembalikan semula, Azam berkata, ia adalah proses normal membabitkan kertas siasatan.

Beliau berkata, apabila pihaknya merasakan siasatan sudah lengkap lalu kertas siasatan diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut.

“Ketika ini kertas siasatan berada dengan pegawai saya dan (tindakan selanjutnya) akan ditentukan dalam satu masa kelak atas arahan Peguam Negara,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, Peguam Negara, Idrus Harun dilaporkan berkata, kertas siasatan kes membabitkan Mohd Nazlan tidak berada dengan AGC.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Related posts

Leave a Comment