TEMERLOH 21 Jun – Terserah kepada Bersatu untuk menentukan sama ada mahu kekal atau keluar daripada Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, setakat ini komposisi PN masih kekal membabitkan Pas, Bersatu, Malaysian Indian People’s Party (MIPP) dan Gerakan.
Naib Presiden Pas itu berkata, isu keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan dijangka menjadi antara agenda penting akan dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi PN yang dijadual berlangsung malam esok.
“Antara agenda yang penting ialah keanggotaan dalam Perikatan Nasional,” kata
Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kuala Krau Kali Ke-40 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Katanya, sebarang perkara yang membabitkan keanggotaan atau kedudukan mana-mana parti dalam PN perlu melalui proses perbincangan dan keputusan bersama di peringkat kepimpinan.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai bentuk perbincangan yang bakal berlangsung dalam mesyuarat itu.
Isu kedudukan Bersatu dalam PN kembali menjadi perhatian selepas timbul pelbagai spekulasi mengenai hala tuju parti berkenaan susulan perkembangan politik semasa dan cabaran yang dihadapi kepimpinannya.
Sebelum ini, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dalam sidang media pada 13 Jun lalu menegaskan hubungan partinya dengan Bersatu sudah berakhir dan menyerahkan kepada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu untuk menentukan sama ada mahu terus kekal dalam PN atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Muhyiddin pada 16 Jun lalu memaklumkan Bersatu membuat keputusan untuk terus kekal dalam PN serta akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo gabungan berkenaan.
Mesyuarat tertinggi PN yang dijadual berlangsung esok dijangka memberi tumpuan kepada beberapa perkara strategik termasuk pengukuhan organisasi serta persiapan menghadapi perkembangan politik semasa negara.
NNNN
