DAP senaraikan lima calon

SEPANG 21 Jun – DAP mendahului parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain yang mengumumkan sebahagian calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor, pada 11 Julai ini.

Secara berperingkat, DAP sudah pun menamakan beberapa calonnya walaupun majlis pengumuman rasmi calon PH akan berlangsung di Padang Bukit Gambir Extreme Park malam esok.

Semalam pada satu majlis, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan calon-calon bagi kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Johor Jaya, Bukit Permai dan Senai.

Mereka adalah Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kewangan, Nor Zulaila Abd Ghani, 38, yang akan bertanding di DUN Tiram, manakala Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Johor Lee Wern Yiing, 30, di Johor Jaya.

Sementara itu, pembantu khas Ahli Parlimen Kulai Mohamad Shafwan Ani, 33, pula diletakkan bertanding di DUN Bukit Permai, manakala bekas penyandang DUN Senai, Wong Bor Yang, 40, diberi kepercayaan mempertahankan kerusi berkenaan.

Loke berkata buat pertama kalinya, parti itu mengambil keputusan untuk meletakkan calon bertanding di DUN Tiram yang merupakan kerusi campuran kerana yakin akan mendapat sokongan selain calon dipilih adalah dalam kalangan yang terbaik.

Menyentuh mengenai percaturan di DUN Senai dan Bukit Permai, Loke berkata ia sebahagian daripada strategi PH untuk menguasai sepenuhnya DUN di bawah Parlimen Kulai yang memiliki tiga DUN.

“Kali ini DAP bertanding di kawasan Bukit Permai dan kita telahpun meletakkan seorang calon (Mohamad Shafwan) yang ada pengalaman di kawasan ini yang telah berkecimpung aktif di lapangan kawasan tersebut sejak sembilan tahun lalu.

Jadi strategi kita ialah untuk menawan ketiga-tiga kerusi ini kerana Bukit Batu (ditandingi PKR) dan Senai memang kerusi penyandang kita,” katanya.

Terdahulu DAP menamakan calon pertamanya, seorang peguam wanita, Chu Poh Yee, 33 sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Mengkibol, yang sebelum ini disandang Chew Chong Sin selama dua penggal.

Nnn

Related posts

Leave a Comment