41 kes baharu

PUTRAJAYA: Sebanyak 41 kes baharu Covid-19 direkodkan di negara ini pada Isnin, 15 Jun 2020 menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,494 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 973 kes.

Daripada jumlah kes baharu, tiga kes adalah jangkitan dari luar negara yang pulang dari Singapura.

Ia masing-masing melibatkan seorang pelajar perempuan berumur 13 tahun; penyelia berumur 54 tahun; serta bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Daripada 38 kes penularan dalam negara, 32 kes adalah bukan warganegara manakala enam kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia.

Sementara itu, tiada kematian baharu direkodkan di negara ini pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Selain itu, jelas Dr Noor Hisham sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga memaklumkan mulai minggu ini, sidang media perkembangan semasa Covid-19 tidak lagi akan diadakan secara harian sebaliknya akan berlangsung selama tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu, dan Jumaat.

Related posts

Leave a Comment