Harga diesel subsidi turun, sama seluruh negara

PUTRAJAYA 21 Jun – Harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter mulai Julai depan di mana rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu pada satu majlis di Bintulu, Sarawak hari ini.

Dengan penurunan harga ini akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad seperti dilaksanakan melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Kementerian Kewangan melalui kenyataan media memaklumkan, melalui pembaharuan ini rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Subsidi diesel, katanya akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.

Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit bahan api itu di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia dan dengan itu, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi.

Pada masa yang sama, rakyat di Sabah dan Sarawak dengan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, langkah penyasaran penting bagi memastikan subsidi kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysia, selain mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi ketika mana keadaan krisis Asia Barat terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global.

Perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi, katanya mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan diesel bersubsidi, termasuk ke luar negara.

“Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel ini akan diumumkan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan esok.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment