Hina UMNO bagi tutup kegagalan Dr Mahathir

SEPANG 8 Sept. – Kenyataan  terbaru Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi pelbagai label buruk dan penghinaan kepada UMNO menunjukkan bahawa bekas Presiden parti itu terus dihantui UMNO pada setiap saat dan ketika.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Dr. Mahathir  sebenarnya tidak pernah ‘move on’ daripada UMNO.

“Tindakan melabelkan UMNO dengan pelbagai gelaran dan penghinaan sebenarnya dilakukan dengan satu motif yang jelas iaitu menutup kegagalan ketara beliau dalam mewujudkan alternatif kepada UMNO,” katanya melalui Facebooknya hari ini.

Menurut Khaled, eksperimen Dr. Mahathir dengan menubuhkan PPBM ( Bersatu) sebagai parti yang lebih baik, lebih bersih dan lebih Melayu dari UMNO nyata gagal.

“Mereka yang beliau percayai dan yakini sebagai tidak korup, berjiwa murni dan bersih, nyata lebih ghairah dengan kuasa dan kedudukan sehingga menolak beliau sebagai  Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM.

Kegagalan tersebut sangat memalukan tetapi Dr. Mahathir menubuhkan pula Pejuang dan seperti biasa, mantera yang beliau ratibkan, Pejuang adalah lebih baik, lebih bersih dan lebih berkemampuan berbanding UMNO dan PPBM.

Namun, parti yang diasaskannya itu tersungkur teruk sekali lagi, apabila dalam PRN Johor, Pejuang menjadi parti yang bukan sahaja kalah dalam semua kerusi yang dipertandingkan tetapi menjadi parti yang kehilangan semua deposit,” katanya.

Setelah menyedari Pejuang tidak mempunyai masa depan sendiri, Dr. Mahathir bergerak pula dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dengan mengutip mereka yang sebelum ini tidak dipandang dengan sebelah mata.

Tetapi, setelah menyedari bahawa strategi tersebut juga belum menampakkan sebarang petunjuk yang memberangsangkan, maka Dr. Mahathir kembali kepada strategi asalnya – iaitu menghentam dan menghina UMNO.

Dalam hal ini, kata Khaled,  Dr. Mahathir terlepas pandang beberapa perkara, pertamanya, sekeji mana pun UMNO pada kaca mata Dr. Mahathir, UMNO sebenarnya tidak pernah melakukan apa yang PPBM lakukan pada beliau.

“UMNO yang meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri paling berjaya dan lama serta memuliakan beliau setelah persaraannya. UMNO tidak pernah menikam beliau dari belakang,” katanya.

Kedua, Dr. Mahathir walaupun negarawan terbilang dan tokoh hebat tetapi jika beliau gagal menjadikan PPBM, Pejuang dan terkini GTA berjaya, maka beliau harus menerima realiti bahawa politik zaman dan cara beliau telah lama berakhir.

Ketiga, jika dibandingkan dengan seteru utamanya, Anwar Ibrahim, PKR jauh lebih berjaya, bertahan dan lebih lestari.

Menurut Khaled, realitinya, orang Melayu masih memilih UMNO kerana tarikan tersendiri, bukan tentang personaliti atau ketokohan tertentu.

“Tarikan yang UMNO tawarkan adalah jelas, iaitu nasionalisme Melayu dan modernisme Malaysia. Sesuatu yang mengikat orang Melayu dengan identiti dan kelangsungan mereka dari dahulu, kini dan selamanya,” katanya.

Khaled mengakui, pemimpin UMNO bukan maksum dan banyak kelemahan yang tidak boleh dinafikan tetapi , adalah tidak adil disebabkan beberapa orang pemimpin terpalit kontroversi, maka segala-galanya tentang UMNO itu korup dan keji.

“Tun, kami memilih untuk bersetia dengan parti dan perjuangan nasionalisme Melayu dan modernisme Malaysia. UMNO telah ‘moved on’. Dari masa silam, dari Tun dan dari kegagalan kami sebelum ini. Kami sedang mengorak langkah menjadi ketumbukan yang bersedia meneroka potensi untuk kembali menjadi Kerajaan pada PRU ke 15,” katanya.

Related posts

Leave a Comment