Gelombang kecil tetapi lama

SHAH ALAM 9 Ogos – Gelombang Covid-19 akibat penularan subvarian Omicron BA.5 di negara ini disifatkan kecil dan terkawal, berbanding sesetengah negara seperti Singapura, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata bagi Malaysia, gelombang Omiron BA.5 adalah kecil tetapi lama.

“Pergerakan 2,000 ke 5,000 kes, tetapi agak lama. Ia tidak naik mendadak, ia naik sikit dan kekal ke paras yang baru.

“So this is a new long wave (gelombang panjang yang baru),” katanya kepada media selepas perasmian Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kes jangkitan Covid-19 yang tidak dilaporkan di aplikasi MySejahtera, Khairy berkata, situasi itu berlaku di mana-mana negara bukan sahaja di Malaysia.

Katanya, kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan adalah kurang daripada keadaan sebenar kerana protokol untuk ujian sudah dilonggarkan selepas negara melaksanakan peralihan ke fasa endemik.

“Dulu, semua buat RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) dan sekarang, kebanyakan ujian yang dilaporkan adalah ujian RTK-Antigen.

“Ada juga individu yang melakukan ujian kendiri tetapi tidak melaporkan kepada MySejahtera. Jadi, dengan keadaan begini, kita ambil ‘proxy indicator’, dengan tidak melihat sangat kepada jumlah kes tetapi kita lihat kepada keseriusan kes.

“Kita melihat kepada severity (keterukan), jumlah kes kematian, kemasukan ke hospital. Selagi kadar berkenaan terkawal, maka kita boleh mengurus masalah ini dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun , Khairy menasihatkan orang ramai untuk melaporkan jangkitan Covid-19 di MySejahtera bagi membantu KKM mengetahui keadaan sebenar serta jumlah kes dalam kalangan komuniti.

Related posts

Leave a Comment