Runding dalam ‘terang, bukan gelap’

KUALA LUMPUR 8 Sept. –  Sebarang perbincangan mahupun rundingan di antara parti politik dan UMNO, perlu dilakukan secara terang-terangan dan bukannya ‘dalam gelap’, kata Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sekiranya perbincangan atau rundingan itu dilakukan secara individu, maka ianya bukan dianggap rasmi buat UMNO.

Beliau yang juga Perdana Menteri mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin yang berkata berlaku perbincangan di antara dua parti itu baru-baru ini.

“Kalau dalam (rundingan) gelap tak tahulah kita, kalau rundingan mestilah secara terang dan setiap rundingan pun perlu diputuskan oleh parti.

Apa pun rundingan hendak dijalankan mesti secara rasmi dan diputuskan oleh UMNO. Kalau rundingan pertemuan lain dianggap tidak rasmi tidak menjadi keputusan oleh UMNO,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Edisi ke-18, MIHAS 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarbangsa (MITEC) di ibu negara hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau sendiri tidak mengetahui mengenai perkara terbabit, tetapi mana-mana pemimpin tidak boleh disekat daripada bertemu rakan di kalangan Pas.

“Saya tak tahu sama ada rundingan atau tak, mungkin perbincangan sebagainya ktia tidak boleh sekat siapa sahaja.

“Sesiapa pun boleh berjumpa rakan di kalangan Pas, berjumpa berbincang. Tapi seperti saya katakan, rundingan hanya sah dan jadi dasar parti apabila diputuskan oleh parti.

“Parti mesti memutuskan siapa wakil parti sah berunding dan sebagainya, itu daripada parti. Kalau pergi sendiri itu tidak boleh dianggap mewakili parti,” katanya lagi.

Sebelum ini, Hashim mendedahkan berlaku ‘rundingan gelap’ Muafakat Nasional (MN) antara partinya dan pemimpin tertentu UMNO antara lain menyentuh keperluan satu lawan satu dan mengelakkan pertembungan di antara UMNO dan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Related posts

Leave a Comment