Pemenjaraan Najib tidak bersihkan UMNO

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad terus ‘menyerang’ UMNO dengan mendakwa UMNO sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara total – dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi.

“Pucuk pimpinan UMNO sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbillion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur UMNO itu sendiri,” katanya melalui Facebooknya.

Dr. Mahathir yang pernah memimpin UMNO selama 22 tahun berkata, pemenjaraan  Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak tidak akan membersihkan UMNO dan budaya parti berkenaan kini bukan seperti sewaktu ia ditubuhkan.

,”Selama 22 tahun saya memimpin UMNO sebagai Presidennya. Sekarang saya menentang UMNO dan berusaha supaya Kerajaan pimpinan UMNO dikalahkan dan UMNO tidak lagi menjadi Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan terpaksa meninggalkan UMNO kerana UMNO bukan lagi UMNO yang ditubuh pada 11 Mei 1946 bukan yang menyelamat Tanah Melayu dari diambil alih oleh British bukan yang berjaya merebut kemerdekaan negara dan kemudian telah bangun negara sehingga terkenal sebagai Harimau Asia.

Katanya, rasuah, sogokan duit dibuat sehingga ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa semua terlibat dengan rasuah tanpa malu.

“Walaupun ahli boleh singkir pemimpin yang menyeleweng, tetapi mereka tidak guna Perlembagaan untuk bersihkan parti sebaliknya mereka teruskan sokongan kuat kepada Presiden yang akhirnya didapati bersalah dan dipenjara,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, rakyat tahu ahli UMNO berkongsi duit yang dicuri, ramai. pemimpin UMNO yang memiliki sehingga dua billion Ringgit.

“Sebab itu kita membaca laporan berkenaan dengan berbillion duit 1MDB hilang, enam billion untuk enam buah kapal LCS, duit Kerajaan ratusan million diperuntukkan untuk beli meriam, beli helikopter tanpa mengikut prosedur.

Perdana Menteri didedah memiliki lebih dua billion Ringgit dalam akaunnya di bank. Kononnya derma dari Raja Arab. AG pilihan Najib tidak menyiasat sepenuhnya punca duit ini tetapi mengisytihar tidak ada kesalahan yang dilakukan Najib.

Sebaliknya apabila Najib dibicara, dia didapati bersalah, didenda dua ratus sepuluh million Ringgit, dipenjara 12 tahun,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, apabila Najib didapati bersalah dan dihukum, pimpinan dan  ahli UMNO menuduh kononnya Najib dianiaya sedangkan semua  hakim bersetuju Najib salah.

“Yang tidak adil ialah tindakan Najib cuba tutup bangkai gajah dengan memecat sesiapa yang cuba siasat apa-apa berkenaan salah laku 1MDB,” katanya.

Katanya, banyak lagi yang dilakukan oleh Najib untuk melepas dirinya dan semua perlakuan ini diterima, disokong dan dipertahan oleh UMNO yang menunjukkan seluruh parti itu tidak lagi berpegang kepada prinsip perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

“Sebab itu UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment