Muda sertai PH sasar 15 kerusi

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bersetuju menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata keputusan itu dibuat melalui Persidangan Pilihan Raya Muda yang berlangsung semalam dan hari ini.

Beliau berkata, cadangan menyertai PH sebenarnya sudah bermula sejak berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, Muda terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung hasrat itu.

“Muda terbuka membincangkan secara rasmi bersama dengan Majlis Presiden PH untuk membincangkan hala tuju negara untuk memastikan suara rakyat diangkat dan bina Malaysia maju dan bermaruah, berintegriti serta meraikan kepelbagaian agama dan kaum,” katanya.

Beliau berkata, beberapa perbincangan tidak rasmi pernah diadakan sebelum ini dengan pimpinan parti gabungan PH iaitu PKR, DAP dan Amanah.

“Tapi selepas keputusan rasmi dibuat di peringkat Muda, tindakan seterusnya, kita akan adakan perbincangan rasmi. Keutamaan bagi Muda adalah untuk memastikan pasukan ini memenangi PRU dan mengukuh serta mengangkat martabat rakyat, bukan soal kerusi semata-mata,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Mengenai PRU,  Syed Saddiq berkata, Muda juga menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen pada PRU akan datang termasuk di Parlimen Muar, yang kini diwakilinya.

“Kita bukan melihat kerusi Parlimen satu kawasan saja, malah kita juga melihat semua kerusi Parlimen di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga ada pasukan yang kuat di Borneo, jadi kita akan letak calon di sana,” katanya.

Muda menurut beliau akan menampilkan calon berwibawa, mengangkat kepemimpinan wanita dan orang muda serta membawa idea yang progresif untuk rakyat.

Pada sidang media sama, Syed Saddiq turut mengumumkan Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz sebagai Pengarah Pilihan Raya Muda.

Related posts

Leave a Comment