Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia

PUTRAJAYA 6 Sept. – Industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Justeru, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) bagi menyokong ekosistem dron negara.

Katanya, mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), yang dipengerusikannya, hari ini, membuat keputusan berkenaan selaras usaha Kerajaan menjadikan MDTAP30 sebagai agenda nasional.

Beliau berkata, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) bakal bertindak sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 serta melaporkan kemajuan kepada ahli Majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

“Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk meningkatkan pendaftaran UAS menjelang 2030.

“Mesyuarat juga mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri seperti kerenah birokrasi, yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Keputusan menubuhkan MDTAP30 adalah satu daripada lima ketetapan yang dicapai dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh menteri serta ketua jabatan agensi terbabit.

Pada mesyuarat sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act – Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP) bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

Mesyuarat juga memutuskan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus diperkasakan melalui pendigitalan dan satu rangka kerja berintegrasi.

“Satu mekanisme Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian (Online Dispute Resolution – ODR) diwujudkan bagi mengadili dan menyelesaikan tuntutan kecil dan meningkatkan aktiviti e-dagang merentas sempadan.

“Penubuhan pusat sehenti (one-stop centre) juga akan mempermudahkan akses program sokongan pendigitalan kepada para PKS.

Selain itu, status pekerja ekonomi gig juga akan sentiasa dipantau untuk memastikan golongan ini mempunyai jaminan dari segi kewangan dan perlindungan undang-undang yang mencukupi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memperkukuhkan kerjasama dengan Microsoft Malaysia dalam bidang keselamatan siber dan kes penipuan dalam talian bagi menyokong visi pembangunan digital negara.

Katanya, program yang akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk forum kesedaran, bengkel kemahiran dan latihan teknikal bagi sektor awam serta swasta.   

Kerajaan juga akan menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian (Sharing Economy Committee)  yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Jawatankuasa ini akan menyelaras inisiatif dan program berkaitan Ekonomi Perkongsian di peringkat nasional melibatkan sektor awam, swasta, komuniti dan akademik.   

Perdana Menteri juga memaklumkan Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan liputan 5G di Malaysia mencapai 40 peratus menjelang akhir tahun 2022 dan sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2024.

Katanya, capaian rangkaian 5G kini telah mencapai lebih daripada 30 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

“Kerajaan berharap program pendigitalan yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi akan terus dipertingkatkan dalam usaha mengekalkan momentum pendigitalan sedia ada seterusnya memacu agenda pendigitalan negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment