MN terlerai di pintu PRU15

KETIKA Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pas, yang juga komponen PN masih menaruh harapan untuk bersama UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).

Berdasarkan usul yang diluluskan pada Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 baru-baru ini, Pas mahu meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform MN untuk memastikan situasi satu lawan satu serta menyatukan parti politik Melayu-Islam.

Niat Pas untuk penyatuan Melayu-Islam itu baik walaupun terpaksa ‘memilih parti’, begitu juga dengan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menyatukan parti politik Melayu tetapi juga terpaksa ‘memilih parti’. Akhirnya tiada kesudahan penyatuan ummah ini.

Hakikatnya UMNO tidak dapat menerima Bersatu. Pejuang tidak dapat menerima Bersatu dan UMNO manakala Pas mungkin boleh menerima kesemuanya, kecuali Amanah. Begitulah corak perpaduan ummah yang dijaja oleh parti politik tanah air.

Ikhlaskah mereka? Setiakah mereka apabila bergabung? Atau semuanya itu penyedap ceramah di pentas politik, sekadar lukisan di kanvas atau hanya deklarasi di atas kertas demi mengejar kuasa atau mahu menyelamatkan diri masing-masing.

Akhirnya, bukan penyatuan yang terjadi sebaliknya perpecahan dalam kelompok melalui pelbagai gabungan parti politik Melayu dalam pelbagai platform.

Walaupun menyedari kebarangkalian tidak ada parti yang boleh memenangi 50 peratus kerusi Parlimen, PH terpaksa menolak kerjasama dengan pihak yang disifatkan pengkhianat yang menjadi punca kerajaan 22 bukan PH tumbang.

PN khususnya Bersatu dikelilingi musuh politik terutama melibatkan komponen PH iaitu PKR, DAP dan Amanah yang tidak dapat melupakan Langkah Sheraton pada penghujung Februari 2020. Apa yang disifatkan pengkhianatan tidak dilupakan.

Begitu juga UMNO dan Pejuang yang tidak dapat menerima Bersatu. UMNO diasak pimpinan Bersatu yang turut dianggotai wakil rakyat UMNO yang melompat parti manakala Pejuang, nyata menolak Bersatu dan Muhyiddin Yassin.

PH sebaliknya konsisten dengan gabungan yang ada sambil mencari rakan kongsi baharu termasuk Muda yang sedia bekerjasama seperti yang terhasil melalui Pilihan Raya Negeri Johor manakala Pejuang membentuk Gerakan Tanah Air (GTA).

UMNO pula dengan penuh yakin bertekad untuk bergerak solo walaupun pelbagai isu dijangka ‘menghantui’ perjalanan dalam menghadapi PRU manakala Bersatu walaupun dikelilingi musuh amat bertuah mempunyai rakan utamanya Pas.

Pas pula yang pada awalnya bersama UMNO melalui MN termakan budi hasil  ‘pengkhianatan’ sekumpulan wakil rakyat Bersatu yang akhirnya membentuk kerajaan PN dan kemudiannya kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan UMNO.

Seperti kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, Pas mengenang jasa dan terhutang budi dengan Bersatu yang melakukan pengorbanan besar untuk mereka terus kekal dalam kerajaan sehingga hari ini.

Justeru Pas memutuskan untuk terus memperkukuh gagasan PN sebagai platform untuk menghadapi PRU15.

Benar keberadaan Pas dalam kerajaan Persekutuan adalah hasil daripada rakan yang keluar daripada PH tetapi jangan dilupakan peranan UMNO dan akar umbi di kedua-dua belah pihak UMNO-Pas.

Bagi tempoh jangka panjang, hubungan UMNO-Pas jika dijaga dengan baik mampu menjadi gagasan yang mantap, lebih-lebih lagi kesungguhan akar umbi pada peringkat awal termasuk semasa menghadapi beberapa siri pilihan raya kecil.

Namun Pas mungkin teramat selesa apabila berada dalam kerajaan PN yang memerintah tetapi realitinya dalam situasi ditelan mati emak diluah mati bapa. Pas tidak sanggup meninggalkan Bersatu.

Tetapi atas nama perpaduan ummah, Pas juga masih mengharapkan UMNO sedangkan Pas sendiri sedar UMNO dan Bersatu tidak boleh bersama. Mana mungkin UMNO mahu berkawan dengan musuh yang mahu menikamnya.

Terlalu banyak yang melukakan UMNO akibat kata-kata, tindakan dan kenyataan pimpinan Bersatu. ‘Mulut Pas’  juga tidak kurang hebatnya menyakiti UMNO. Bak kata orang kerana pulut santan binasa , kerana mulut badan binasa.

Justeru apakah pilihan yang ada pada Pas dan UMNO? Ketika Pas masih menaruh harapan, khabarnya lukisan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden Pas Abdul Hadi Awang di ruang legar Menara Dato Onn sudah ‘hilang’.

Maknanya, ikatan MN sudah terlerai. UMNO sudah tidak ada apa lagi yang hendak dibincangkan bersama Pas. Kata orang untung sabut timbul, untung batu tenggelam, kecuali sesuatu berlaku pada saat-saat akhir.

Bersedialah pada PRU ini pengundi Melayu – Islam terutamanya memilih empat menu utama iaitu BN (UMNO), PN (Pas, Bersatu), GTA (Pejuang, Putra, Berjasa, Iman) dan PH (Amanah, PKR).

Related posts

Leave a Comment