Warga emas rugi RM2.8 juta, pesara RM70,000

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Seorang perunding, lelaki warga emas berusia 68 tahun kerugian lebih RM2.8 juta akibat terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud di laman media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa tertarik dengan iklan pelaburan berkenaan sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau berkata mangsa kemudiannya ditawarkan empat jenis pelaburan berbeza dan membuat 48 transaksi pembayaran dari Oktober 2024 hingga Januari 2025 berjumlah RM2,821,654 ke 23 akaun bank berbeza.

Ia melibatkan lapan akaun Hong Leong Bank, CIMB (empat), RHB Bank (tiga), BSN (dua), Affin Bank (dua), GX Bank (dua) dan masing-masing satu Public Bank dan Maybank.

Ramli berkata mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis selepas menyedari tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan, sebaliknya terus diminta membuat bayaran tambahan bagi ‘mencairkan’ keuntungan dalam aplikasi pelaburan yang digunakan.

“Satu laporan polis telah diterima pada 27 Januari lepas di Kota Kinabalu, Sabah dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

“Kami (polis) menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat. Pastikan pelaburan yang diceburi adalah sah dan berdaftar dengan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pesara kerugian RM70,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau ‘phone scam’ yang lebih licik apabila turut beroperasi secara bersemuka dengan menyamar sebagai pegawai polis.

Ramli berkata pada 15 Januari lalu, wanita berusia 61 tahun itu dihubungi suspek mendakwa nombor telefon mangsa didaftarkan atas satu akaun Shopee yang menjual produk kecantikan tidak berdaftar.

Beliau berkata, panggilan kemudiannya disambungkan kepada pihak polis yang mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah serta terlibat aktiviti haram dan kesemua akaun pengadu akan dibekukan.

“Bagi mengelakkan wang mangsa dari dibekukan, mangsa dicadangkan untuk memindahkan semua wangnya ke akaun bank yang diberikan oleh sindiket.

Keesokan harinya (16 Januari), suspek yang memakai pelitup muka telah datang ke rumah pengadu dan memperkenalkan diri sebagai Inspektor Akmal dan meminta mangsa menyerahkan kad ATM Bank Islam bagi tujuan memindahkan wang dari akaun tersebut ke akaun bank yang selamat,” katanya ini.

Menurut Ramli, pada 18 Januari lalu, suspek kembali ke rumah mangsa dan memulangkan kad ATM Bank Islam dan meminta mangsa untuk menyerahkan kad Maybank miliknya pula untuk tujuan yang sama.

“Pada 20 Januari pula, mangsa dihubungi dan diminta memindahkan kesemua wang dari akaun ASB ke akaun Maybank, namun mangsa mula curiga dan bercerita perkara tersebut kepada keluarganya yang kemudian menyedarkannya bahawa beliau telah ditipu,” katanya.

Beliau berkata, laporan kejadian itu diterima di Kota Kinabalu pada 21 Januari lalu dan siasatan sedang dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ramli turut menegaskan pindahan panggilan antara agensi khususnya dalam kes ‘phone scam’ bukanlah cara kerja agensi kerajaan.

“Buat setakat ini, tidak berlaku panggilan dari Bank Negara Malaysia dipindahkan kepada pihak polis, mahkamah dan sebagainya malahan dalam kes ini, dari Shopee kepada pihak polis.

“Justeru, sekiranya menerima panggilan yang meragukan dan dipindahkan dari satu agensi ke agensi lain, maka ia adalah penipuan. Segera tamatkan panggilan tersebut bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment