Kerajaan tubuh SDG Negara

PUTRAJAYA 6 Sept. – Kerajaan akan menubuhkan Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam usaha memperkasa dan mempergiat program serta memantau kemajuan SDG negara, kata Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis SDG Negara yang dipengerusikannya hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri ahli-ahli majlis iaitu Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, Menteri-menteri Kanan dan Menteri-menteri Persekutuan, Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Kluster Jawatankuasa Kerja SDG, dan beberapa Ahli Parlimen.

Ismail Sabri berkata, agenda pembangunan mampan memerlukan pembabitan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikat-syarikat swasta dipertingkatkan.

Katanya, mesyuarat mengambil maklum cabaran dan situasi semasa peringkat global dan tempatan serta kemerosotan dalam pencapaian beberapa SDG negara ekoran impak negatif pandemik Covid-19, cabaran perubahan iklim dunia, krisis inflasi dan kemelut geopolitik antarabangsa.

Mesyuarat juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan-kerajaan negeri.

“Sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri. Setiap negeri digalakkan menyediakan laporan ini sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turut diminta supaya segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada penghujung tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pelaporan kemajuan SDG negara dilaksanakan setiap empat tahun, selaras saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar pembentangan laporan dilakukan secara berkala menerusi Laporan Semakan Kebangsaan (VNR).

Beliau berkata, Malaysia sudah membentangkan VNR pada 2017 dan 2021 di Forum Politik Peringkat Tinggi Matlamat Pembangunan Mampan, PBB (UN HLPF) bagi memenuhi obligasi negara di peringkat global dan ia antara lain melaporkan secara inklusif kemajuan dan cabaran negara dalam pelaksanaan SDG di peringkat nasional.

“Kerajaan komited untuk mencapai Agenda 2030 dan memperkukuhkan tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030 dengan membabitkan seluruh Keluarga Malaysia dalam arus pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment